Sorotan Calon Wanita Harungi Tempoh Pilihan Raya

KEKURANGAN pengalaman dalam bidang politik dan usia muda calon baru Parti Tindakan Rakyat (PAP), Cik Rahayu Mahzam (gambar kiri), mungkin antara faktor yang dipersoal pelbagai pihak, termasuk pembangkang dan pengundi.

Namun, Cik Rahayu, 35 tahun, berbakti kepada penduduk dengan jiwa dan beliau yakin penduduk juga dapat merasakan keikhlasannya itu.

Meskipun masih baru dalam arena ini, beliau rancak berkempen dan turun padang dari awal pagi hingga malam untuk mengenali penduduk dengan lebih dekat.

“Memang saya lebih muda dan masih banyak yang perlu dipelajari, tetapi saya bersama pasukan akar umbi dan GRC yang kuat. Dengan kemantapan parti (PAP), terdapat sumber yang boleh kami rujuk termasuk daripada Anggota Parlimen berpengalaman.

“Saya telah bekerja keras menjalin hubungan dengan penduduk. Dengan usia saya yang muda, saya juga bertenaga dan ghairah,” kata Cik Rahayu.

Seorang lagi calon wanita muda PAP, Cik Tin Pei Ling (gambar tengah), 31 tahun, mempunyai pengalaman dalam bidang politik memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) selama lebih empat tahun.

Namun, status barunya sebagai ibu baru-baru ini dijadikan isu oleh pihak pembangkang.

Menurut calon Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Cheo Chai Chen, 64 tahun, peranan baru Cik Tin sebagai ibu adalah kelemahannya dan jika pengundi memilih Cik Tin, beliau mungkin akan memberi lebih banyak tumpuan kepada anaknya berbanding pengundi.

Cik Tin tidak bersetuju dengan pandangan Encik Cheo dan menekankan komitmennya kepada MacPherson.

Sementara itu calon NSP, Cik Nor Lella Mardiiiah Mohamed (gambar kanan), pula turut membentangkan rancangannya untuk membentuk dana pelajar Melayu di Tampines.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *