Yaacob Ibrahim Kutuk Politik Kotor Yang Burukkan Imejnya

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim mengutuk politik kotor yang memburuk-burukkan imej beliau.

Ini setelah kini tersebar gambar beliau kononnya memegang sebotol minuman keras semasa satu acara masyarakat.

BOTOL MENGANDUNGI KONFETI, BUKAN MINUMAN KERAS

Botol tersebut sebenarnya mengandungi konfeti atau cebisan kertas berwarna warni yang dilancarkan semasa perasmian program ijazah maktab seni La Salle, tiga tahun lalu. Ia langsung tidak mengandungi minuman keras dan bukan botol minuman keras.

Dr Yaacob berharap anggota politik pembangkang seperti Encik Faisal Manap dari Parti Pekerja (WP) juga akan mengutuk perbuatan fitnah sedemikian.

Beliau menyifatkan perbuatan menggunakan politik sedemikian sebagai “sangat jahat”.

“Saya rasa kecewa apa yang telah diutarakan satu gambar yang kurang benar, oleh kerana kalau kita renung, gambar itu ialah (semasa) pembukaan La Salle di mana saya dan Perdana Menteri berada.

“Dan apabila kita membuka La Salle, apa yang digunakan itu ialah salah satu botol di mana botol itu mengandungi konfeti.

“Kalau kita renung juga dengan teliti gambar yang telah digunakan, sebenarnya gambar konfeti itu ada tapi telah dipotong.

“Jadi ini menunjukkan keinginan mereka untuk menonjolkan satu gambaran yang negatif. Saya rasa ini satu langkah yang kurang sihat, dan inilah yang kita tidak harus iktirafkan.

“Oleh kerana kalaulah kita hendak berpolitik, lebih baik kita politik dengan bersih, dan saya harap pihak pembangkang juga tidak setuju dengan apa yang telah dilakukan. Oleh kerana ini bukanlah politik yang kita inginkan di Singapura,” ujar Dr Yaacob.

‘KURANG SIHAT’ BAGI POLITIK DI SINGAPURA

Beliau menambah: “Saya kenal Encik Faisal Manap, dan bila kita di Parlimen dan kadang kala bila kita ingin beribadah untuk sembahyang semasa sesi Parlimen, saya berjumpa dengan beliau dan kita sembahyang bersama-sama.

“Jadi saya rasakan apa yang telah berlaku adalah sesuatu yang kurang sihat bagi politik di Singapura dan saya berharap semua, termasuk ahli politik pihak pembangkang juga tidak mengiktirafkan politik sedemikian.”

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *