Yaacob Ibrahim: Semangat Ihsan Sumbangan Melayu/Islam Demi Masa Depan

MENTERI Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, berkata pergerakan Rahmatan Lil Alamin (RLA) selama 10 tahun telah memaparkan semangat ihsan dan bergotong-royong sebagai satu sumbangan masyarakat Melayu/Islam demi masa depan Singapura.

“Saya rasa RLA ini menunjukkan kejayaan masyarakat kita kerana bukan hanya dari segi sumbangan kita terhadap prinsip berbilang kaum, malah pada masa yang sama, kepada ihsan – berperikemanusiaan, bukan hanya kepada masyarakat Melayu, bahkan di peringkat nasional juga.

“Sumbangan ini sungguh penting kerana ia membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat di Singapura.

“Selama 10 tahun ini menunjukkan bahawa RLA telah bekerja keras bukan hanya dengan masyarakat Islam tetapi yang bukan Islam untuk menunjukkan bahawa nilai Rahmatan Lil Alamin itu adalah nilai yang sejagat,” ujar Dr Yaacob ketika ditemui wartawan dalam majlis pelancaran Bulan RLA di ITE College East, semalam.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong.

Kempen sehingga 26 September ini bertemakan ‘Semangat Prihatin-Masyarakat Berharmoni’.

Pelbagai kegiatan diatur di keenamenam kelompok masjid atau kesemua 69 masjid di Singapura sempena Bulan RLA 2015.

Senarai kegiatan termasuk program kesihatan, makanan dan ubah elok rumah bagi mereka yang memerlukan.

Relawan belia turut mengedarkan magnet peti sejuk dengan mesej ‘Fikir, Kata dan Amalkan Kebaikan selalu’ kepada orang ramai di stesen MRT Expo, Eunos dan Paya Lebar.

Usaha RLA diterajui oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan kesemua masjid di Singapura itu bermula bagi projek kemasyarakatan di dalam dan luar negara sebelum dipertingkat menjadi sebuah yayasan pada 2009.

Sejak 2005, RLA telah mengagihkan lebih $4.8 juta kepada usaha kebajikan di dalam dan luar negara.

Pengerusi RLAF, Encik Mr Po’ad Mattar, semalam buat kali pertama mengumumkan bahawa yayasan itu akan mengambil Hospital Ren Ci dan Persatuan Ain sebagai Kebajikan Angkat mereka.


PERKEMBANGAN DI GRC JALAN BESAR

“Saya rasa apa yang selama ini kami lakukan adalah mengenal semua penduduk di GRC Jalan Besar. Penerimaan mereka begitu mesra dan ini satu tanda yang baik. Ini menunjukkan kerja keras selama empat tahun bagi menentukan keperluan penduduk Jalan Besar dapat dipenuhi sebaik mungkin. Alhamdulillah, apa yang kami dapati apabila kami berjumpa dengan pengundi, mereka berasa riang dan gembira bahawa kami akan terus bekerja bagi mereka kalau diundi sebagai pemimpin di Jalan Besar GRC. Harapan kami adalah untuk bertemu dengan semua pengundi di Jalan Besar sebelum Hari Bertenang. Saya rasa ini sesuatu yang kami perlu buat bagi memberitahu penduduk bahawa kamilah pasukan yang lebih cekap dan pengalaman untuk bekerjasama bersama mereka bagi masa depan mereka.”

– Menteri Perhubungan dan Penerangan Dr Yaacob Ibrahim ketika ditanya mengenai kempennya di GRC Jalan Besar di majlis pelancaran Bulan Rahmatan Lil Alamin (RLA) semalam.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *