Pengurus Zam Zam Didakwa Di Mahkamah Sebabkan Pekerja Victory Ini Cedera

SEORANG pengurus Zam Zam Restaurant Pte Ltd, Zackeer Abbass Khan, 45 tahun, bersama enam lelaki lain telah didakwa di mahkamah semalam kerana dituduh menyerang seorang pekerja Victory Restaurant Pte Ltd hingga dikatakan mengalami kecacatan berkekalan di wajahnya.

Akibat tindakan yang didakwa itu, mangsa, Encik Liakath Ali, 52 tahun, mengalami kecederaan serius selepas dikatakan dikelar dengan pisau dalam satu kejadian yang berlaku di Arab Street pada 26 Ogos lalu.

Menurut polis, siasatan awal menunjukkan serangan berpunca daripada pertikaian dalam persaingan perniagaan.

Restoran Zam Zam dan Restoran Victory terletak sebelah-menyebelah di deretan kedai di depan Masjid Sultan di North Bridge Road.

Kedua-dua kedai makan ini cukup popular dengan jualan martabak mereka.

Dalam pertuduhannya, pihak pendakwa raya menyatakan Zackeer telah bersekongkol dengan dua lelaki, Anwer Ambiya Kadir Maideen, 46 tahun, dan Koleth Navas, 29 tahun, dalam satu konspirasi yang menyebabkan kecederaan serius dengan menggunakan senjata berbahaya ke atas mangsa.

Menyusuli konspirasi itu, Encik Liakath dikatakan telah diserang tiga lelaki – Joshua Navindran Surainthiran, 22 tahun; Joel Giritharan Surainthiran, 24 tahun; dan Ramge Viswamnathan, 19 tahun – dengan bersenjatakan sebilah pisau dalam kejadian di Arab Street itu.

Tertuduh ketujuh, Koleth Abdul Nasir, 41 tahun, seorang warga India, pula menghadapi tuduhan melakukan ugutan jenayah.

Dia didakwa telah mengancam Encik Liakath empat hari sebelum kejadian dengan berkata: “Dulu kami patut lakukan ke atas kau tapi kau lepas; tapi kali ini, kami akan lakukan ke atas kau; kau jaga”.

Difahamkan antara mereka adalah pekerja Zam Zam Restaurant.

Peguam bela, Encik Sarbrinder Singh, yang mewakili Zackeer, memberitahu mahkamah anak guamnya “tidak terlibat dalam tuduhan itu” dan meminta dia dibebaskan dengan ikat jamin.

Namun pihak pendakwa raya memohon Zackeer terus ditahan seminggu lagi bagi membolehkan siasatan diteruskan.

Tidak dapat dipastikan adakah enam tertuduh lain telah mendapatkan khidmat guaman.

Hakim Daerah, Encik Eddy Tham, tidak membenarkan Zackeer diikat jamin dan menetapkan kes didengar lagi pada 30 September ini.

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *