Pengakuan Sufie Rashid: Saya Dipaksa Melakukan Seks Oral Kepada Bekas Pengurus/Bapa Tiri, Arif Dollah, Ibu Tidak Percaya

Penyanyi Singapura, Sufie Rashid mendakwa pernah didera secara seksual oleh bekas pengurus Tegar, Ariff Dollah.

Sufie berkata, Arif sebelum ini pernah menjadi pengurusnya dan mengaku telah dipaksa melakukan seks oral oleh lelaki tersebut.

“Ketika itu saya berusia 13 tahun dan Arif ialah pengurus saya. Jika Tegar menerima gangguan seksual, saya lebih teruk dari itu.

“Lebih memeritkan selepas ibu saya berkahwin dengan Arif, saya selalu menjadi mangsanya. Selama setahun saya dipaksa melakukan perkara terkutuk oleh Arif.

“Bukan saya tidak mengadu kepada ibu, tetapi ibu lebih percayakan suaminya,” luahnya ketika ditemui di Istana Budaya pada malam Jumaat.

Menurut Sufie lagi, kejadian yang menimpa Tegar mebuatkan dia terpanggil untuk membuat pengakuan berani itu.

“Bodohlah saya jika melakukan ini (pengakuan) kerana publisiti. Saya tak bodoh untuk mencari publisiti dengan menjual cerita melibatkan maruah diri. Tak mungkin saya akan memalukan diri saya sendiri!

“Arif sudah melampau…Saya fikir selepas 11 tahun, dia dah bertaubat. Saya hubungi Tegar selepas mengetahui dia diganggu secara seksual oleh lelaki  itu,” katanya kepada Astro Gempak.

Kata penyanyi berusia 24 tahun itu, dia tidak terkejut dengan kenyataan dibuat Arif kepada media kerana lelaki itu bijak memanipulasi fakta.

“Dia memang pandai putar belit cerita. Saya ada terbaca kenyataan Arif yang menyuruh Tegar membuat laporan polis dan pemeriksaan doktor sekiranya benar dia diliwat.

“Saya merasakan kenyataan tersebut lucu kerana pihak Tegar tidak pernah mendakwa Arif meliwat, tetapi ia hanya gangguan seksual.

“Apa yang cuba dia buktikan? Saya berani mendedahkan segalanya hari ini kerana saya menyimpan perkara ini sudah lama. Ya, saya mendendami Arif. Kerana dia saya mengalami tekanan perasaan dan terpaksa menjalani rawatan bersama pakar jiwa,” ujarnya kesal.

Sufie ditemui ketika majlis sidang media sejurus selepas tamat persembahan Muzikal Nusantara di Istana Budaya.

 

Source: www.astrogempak.com.my

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *