Sultan Johor: Pendakwah Yang Ingin Bereramah Di Johor Perlu Dapat Tauliah

MUAR: Penceramah luar yang ingin berceramah di Johor perlu mendapat tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) terlebih dahulu sebelum mengadakan ceramah agama di negeri berkenaan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkata walaupun penceramah tersebut bagus kerana pandai berhujah dan sering berceramah di televisyen, namun apabila dia tidak diberi tauliah, pasti ada yang tidak kena dengan pengajarannya.

“Cermin dahulu muka sendiri sebelum nasihat kepada orang lain. Kita akan mengawal mana-mana orang daripada mengajar agama Islam tanpa tauliah kerana ajaran sesat dan ceramah berbaur politik yang menjadi medan untuk mengata, memfitnah dan mencaci orang lain akan hanya mengelirukan masyarakat Islam dan meruntuhkan perpaduan rakyat,” tegas Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim berkata demikian pada Majlis Perasmian Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Johor Ke-60 di Dataran Tanjung Emas, semalam (24 Feb).

“Dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas memperuntukkan agama Islam di bawah bidang kuasa negeri dan sultan adalah ketua agama di negeri masing-masing. Dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 diperuntukkan dengan jelas Sultan adalah ketua agama bagi negeri Johor Darul Takzim,” ujar Sultan Ibrahim.

“Tapi sejak kebelakangan ini, ada pihak yang suka mencampuri kuasa agama di negeri-negeri sedangkan mereka hanya mempunyai bidang kuasa di negeri masing-masing,” tambah beliau.

DITUDUH BIDAAH

Menurut Sultan Ibrahim amalan yang sekian lama diamalkan di Johor seperti Maulidur Rasul, bacaan doa awal dan akhir tahun, nisfu syaaban, bacaan Yasin dan tahlil pada malam Jumaat, membaca doa qunut dalam sembahyang subuh, membaca talkin dan sebagainya juga dipertikaikan dan dituduh sebagai bidaah yang membawa kepada balasan neraka di hari kiamat kelak.

“Saya ingin mengingatkan pihak tertentu yang mempunyai pandangan berbeza supaya tidak mencampuri urusan agama di Johor kerana perbuatan itu akan menjadikan umat Islam keliru dan berpecah belah. Umat Islam di Johor tetap dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tegas Sultan Ibrahim.

“Semua negeri mempunyai majlis agama masing-masing yang ada kuasa dan tanggungjawab untuk mengawal selia serta memastikan perjalanan hal ehwal agama Islam di negeri masing-masing supaya berjalan dengan baik, teratur dan harmoni,” tambah beliau.

“Peranan seorang mufti dalam sesebuah negeri adalah untuk mengeluarkan fatwa dan menjelaskan mengenai hukum Islam hanya untuk negeri berkenaan,” kata Sultan Ibrahim.

TIDAK BOLEH HANYA RUJUK KEPADA GOOGLE, YOUTUBE, FACEBOOK SEMATA-MATA

Sultan Ibrahim turut menegaskan al-Quran hendaklah ditafsirkan oleh mereka yang pakar dan mahir dalam bidang tafsir kitab suci itu bagi mengelakkan ia disalah tafsir sewenangnya.

“Kita mestilah belajar dengan guru agama atau alim ulama yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama yang sudah menyiasat latar belakang guru dan penceramah yang betul berdasarkan tauliah yang diberikan,” ujar Sultan Ibrahim.

“Untuk mendalami al-Quran dan ajaran Islam, kita tidak boleh hanya merujuk kepada Google, YouTube dan Facebook semata-mata atau menerima bulat-bulat maklumat yang disebarkan di media social.”

“Memang benar urusan dakwah itu boleh dilakukan sesiapa sahaja, tetapi di Johor ini, kita ada undang-undang untuk mengawal pendakwah yang boleh mengelirukan dan tidak sehaluan dengan cara kita,” tambah beliau.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *