Gadis 18 Tahun Kahwin Lelaki 66 Tahun

Jarak perbezaan usia antara si gadis dengan lelaki yang dikahwininya, hampir 50 tahun.

Si jelita berusia 18 tahun. Si lelaki pula berusia 66 tahun.

Namun inilah yang dikatakan jodoh.

“Walaupun usia jauh beza namun saya kahwin dengan dia sebab saya sukakannya, bukan kerana duit atau terhutang budi.”

Itulah pengakuan Nur Nasirah Mohd Nazri, seperti ditukil Utusan Malaysia. Nur Nasirah memilih seorang jejaka bernama Ismail Lombok yang berusia 66 tahun, sebagai suaminya.

Menurut laporan Utusan Malaysia lagi, Nur Nasirah mula mengenali hati budi Ismail yang sering minum di restoran milik ibunya, Salma Abdullah, 42 tahun.

Ketika itu, Nur Nasirah selalu berada di restoran untuk membantu ibunya dengan kerja-kerja dapur selain mengambil pesanan daripada pelanggan.

Beliau mula tertarik dengan perwatakan duda lapan anak itu yang sering bertanya khabar tentang diri dan keluarganya.

“Biarpun apa orang hendak kata kepada saya namun saya terima seadanya, dia begitu mengambil berat dan menyayangi saya sepenuh hati,” tambah Nasirah.

Utusan Malaysia mendedahkan Nur Nasirah tidak tahu menahu langsung bahawa Ismail juga menaruh hati padanya dan melayan lelaki itu seperti pelanggan lain yang berkunjung ke restoran itu.

TIADA HALANGAN DARIPADA IBU BAPA

Ibu Nur Nasirah, Salma yang juga rakan baik Ismail yang kini menjadi menantunya berkata sudah lama mengenali lelaki dikenali dengan panggilan Pok Wil yang tinggal sekampung.

“Selepas anak saya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia berkali-kali meluahkan hasratnya itu, namun saya tidak memberikan keputusan kerana perlu berbincang dengan Nur Nasirah dahulu.

“Apabila Nur Nasirah memberikan jawapan, barulah kami buat perbincangan lanjut lalu menetapkan tarikh perkahwinan mereka,” menurut Utusan Malaysia seperti ditukil oleh ibu Nur Nasirah yang merestui perkahwinan pasangan itu.

Ternyata jarak usia amat berbeza iaitu 48 tahun bukan penghalang dan tetap mendapat restu serta persetujuan daripada keluarga masing-masing.

Akhirnya Nur Nasirah, anak ketiga daripada lima beradik selamat diijabkabulkan dengan Ismail dengan hantaran kahwin sebanyak RM7,000 (S$2,400).

Majlis akad nikah berlangsung di rumah pengantin lelaki di Terengganu minggu lalu pada18 Mac, namun gambar-gambar perkahwinan mereka mulai menjadi viral di media sosial dengan ulasan-ulasan yang mempersendakan pasangan itu.

Pengacara popular, Faizal Ismail atau dikenali sebagai FBI turut berkongsi gambar perkahwinan pasangan berkenaan dan mengucapkan tahniah.

Laman online freemalaysia.com pula melaporkan, Nur Nasirah tampil untuk membidas pihak yang tidak bertanggungjawab menyusuli penyebaran gambar perkahwinannya itu yang mempersoalkan motifnya.

“Perkahwinan saya sah. Bukannya buncit (mengandung) dulu baru kahwin,” menurut Nur Nasirah di Facebooknya.

“Pasal orang muda seperti saya kahwin dengan orang tua jadi bahan lawak. Lawak sangat ke? Terima kasihlah jadikan saya hot stuff kejap. Banyak pahala awak sehingga nak cari dosa. Kalau saya tak maafkan awak sebab hebohkan gambar ni? Awak rasa ok tak?” tambahnya seperti ditukil laman tersebut.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *