Mufti S’pura Utus Surat Kepada Paderi Besar Katolik

Sebagai bukti semangat berbilang agama di Singapura, Mufti Negara Singapura, Dr Mohamed Fatris Bakaram mengutus sepucuk surat kepada Paderi Besar Katolik, William Goh.

Dalam surat tersebut, Dr Fatris melahirkan rasa sedih di atas serangan pengganas di Lahore Pakistan kelmarin, yang membunuh lebih 70 orang.

Mufti Dr Fatris menegaskan bahawa tindakan mengebom itu adalah tidak berperikemanusiaan dan satu penghinaan bagi para penganut agama yang berpegang pada nilai-nilai ihsan dan keamanan.

Beliau menambah tindakan mengebom di sebuah taman yang sesak dengan kaum keluarga yang sedang menyambut Easter bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah ia juga merupakan serangan ke atas manusia secara keseluruhannya.

Serangan pada Hari Easter itu menyasarkan orang Kristian, walaupun sebahagian besar korban merupakan orang-orang muslim.

Mufti Dr Fatris juga menekankan kepada Paderi Besar William Goh bahawa MUIS mengutuk keras serangan tersebut, sambil menjelaskan bahawa menyerang orang lain hanya kerana mereka menganuti agama lain, adalah suatu perbuatan yang tidak diterima Islam.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *