Pelajar Muslim Dikecualikan Berjabat Tangan Dengan Guru Wanita Di Switzerland

Tidak lama lagi, para pelajar lelaki Islam di sebuah sekolah di utara Switzerland tidak lagi perlu berjabat tangan dengan guru wanita mereka.

Sebuah sekolah di Therwil, kanton Basel, mengambil keputusan yang kontroversil itu selepas dua pelajar lelaki Islam, berusia 14 dan 15 tahun, mengadu bahawa adat Swiss berjabat tangan dengan guru bertentangan dengan kepercayaan agama mereka, jika guru itu seorang wanita.

Mereka berkata Islam melarang hubungan fizikal dengan individu berlainan jantina, kecuali anggota keluarga terdekat tertentu.

Majlis tempatan Therwil tidak menyokong keputusan sekolah tersebut, “namun tidak akan masuk campur kerana ia adalah tanggungjawab sekolah itu untuk menetapkan peraturan,” kata jurucakap Monika Wyss kepada AFP dalam satu kenyataan.

PERSPEKTIF-PERSPEKTIF BERBEZA

Keputusan tersebut bagaimanapun mencetuskan kemarahan di serata Switzerland, hingga Menteri Keadilan, Simonetta Sommaruga menegaskan di televisyen Swiss bahawa “berjabat tangan adalah sebahagian daripada budaya kami.”

Felix Mueri pula, yang menerajui suruhanjaya parlimen tentang sains, pendidikan dan budaya, menyifatkan adat berjabat tangan sebagai “tanda hormat dan budi bahasa”, menurut laman berita 20Minuten.

Christoph Eymann, yang memimpin Sidang Swiss tentang Menteri-Menteri Pendidikan Wilayah, bersetuju dan berkata: “Kami tidak boleh membiarkan sama sekali golongan wanita dalam perkhidmatan awam diberi layanan berbeza daripada lelaki.”

HURAIAN PRAGMATIK

Pihak berkuasa wilayah Basel-County, yang berkuasa merubah keputusan Therwil, tidak memberikan respons kepada pertanyaan AFP.

Namun ketua pendidikan di wilayah itu, Monica Gschwind memberitahu media bahawa beliau melihat keputusan sekolah tersebut sebagai pragmatik, namun bukan “huraian berkekalan.”

Sementara itu, kumpulan-kumpulan Islam mencela polemik yang menyelubungi isu tersebut.

“Seseorang akan menyangka bahawa kewujudan berterusan nilai-nilai teras Switzerland berisiko dihapuskan, padahal, kes tertentu ini pada hakikatnya melibatkan hanya dua pelajar sekolah tinggi yang berkata mereka berhasrat menyambut guru mereka dengan cara yang berlainan daripada berjabat tangan,” menurut Majlis Pusat Islam Switzerland dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu menarik perhatian bahawa “fiqh Islam dan kebanyakan ulama undang-undang kontemporari, menganggap bahawa cara bersentuhan ini (berjabat tangan) dilarang di antara individu jantina berlainan.”

BERJABAT TANGAN “SECARA TEOLOGI DIBENARKAN”

Persekutuan Pertubuhan Islam di Switzerland (FIOS) bagaimanapun menegaskan bahawa berjabat tangan antara lelaki dan wanita “secara teologi dibenarkan” dan biasa diamalkan di sesetengah negara Islam.

Ia menambah bahawa isu ini tidak seharusnya menjadi satu masalah di Switzerland.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *