Dulu Gagal Semua Subjek, Kini Anak Melayu Dipilih Jadi Valediktorian

Beliau pernah gagal semua matapelajaran dalam peperiksaan yang didudukinya semasa Menengah Tiga.

Namun, kekecewaan yang dialami Encik Khairul Anwar Wahab itu menjadi pendorong utama hingga beliau berjaya menggenggam ijazah Kepujian Kelas Kedua (Atas) dari SIM Global Education-Universiti London (UOL).

Malah lebih membanggakan, beliau yang meraih ijazah Sarjana Muda Sains dalam Perbankan dan Kewangan, dipilih menjadi valediktorian SIM-UOL semalam (6 Apr).

Valediktorian merupakan tugasan berprestij bagi seseorang siswazah, di mana beliau menyampaikan ucapan perpisahan dalam majlis konvokesyen.

PERNAH LEKA DAN “PERLAHAN”

Menceritakan lanjut ketika dihubungi BERITAMediacorp, Encik Khairul yang berusia 25 tahun, mengakui beliau leka dan agak perlahan menggarap pelajaran ketika menuntut di Sekolah Menengah Siglap.

“Dulu saya belajar main-main, lagipun saya tidak begitu memahami konsep dan betapa pentingnya Peperiksaan GCE ‘O’ hinggalah di Menengah 2.

“Selepas saya gagal semua subjek, Pengetua, Naib Pengetua, Ketua Jabatan (HOD) dan guru semua beritahu saya, jangan ambil kombinasi subjek yang saya pilih itu,” kata beliau.

Namun, Encik Khairul mencatat prestasi lebih baik dalam peperiksaan akhir, bahkan berjaya melangkah ke Maktab Rendah Yishun.

DISURUH ‘BERSIAP’ KE ITE, NAMUN…

Encik Khairul mengakui agak terkilan kerana ada di antara gurunya sebelum itu memberitahunya supaya mempersiapkan diri untuk ke Institut Pendidikan Teknikal (ITE).

Bagaimanapun, ternyata ada hikmah di sebalik kejadian tersebut.

Ia seolah-olah mengejutkan beliau. Malah peristiwa tersebut menjadi pembakar semangat bagi kejayaannya.

“Mereka tidak rasa saya boleh berjaya dalam pelajaran. Saya agak kecewa, kerana merekalah yang sepatutnya memberikan saya sokongan.

“Inilah yang jadikan saya lebih bersemangat untuk membuktikan kepada mereka, saya mampu melakukannya dan mengecap kejayaan,” ujar beliau.

AZAM BANTU PELAJAR LAIN DALAM KESUKARAN

Anak kedua dalam keluarga lima beradik itu berkata keputusan cemerlang yang dikecapinya hari ini adalah hasil sokongan padu daripada ibunya, suri rumah berusia 47 tahun, dan bapanya, Timbalan Superintenden yang bertugas di penjara, berusia 50 tahun.

Beliau juga berterima kasih kepada guru darjahnya, yang disifatkan sebagai sumber kekuatan dan inspirasinya yang sentiasa yakin dengan kebolehannya.

Guru darjah beliau itu jugalah yang menjadi pendorong bagi Encik Khairul membuat kerja sukarela di Mendaki sebagai guru tuisyen sejak 2 1/2 tahun lalu.

“Saya mahu membantu pelajar yang mengalami kesukaran dalam pelajaran, seperti yang saya alami dulu. Saya mahu menjadi sumber kekuatan dan inspirasi bagi mereka. Malah sesetengah dari mereka datang dari keluarga berantakan.

“Saya rasa puas melihat mereka lulus PSLE bahkan ada yang meraih lebih dari 200 mata,” kata Encik Khairul.

KERJA SAMBILAN SEJAK 16 TAHUN

Lebih membanggakan, Encik Khairul juga terus mencatat keputusan cemerlang meskipun bekerja sambilan sejak berusia 16 tahun hingga tahun kedua pengajian di universiti.

Beliau pernah bekerja dalam katering pesawat, limbungan kapal, di hotel, sebagai pengawal keselamatan dan sebagainya demi meraih lebih banyak pengalaman kehidupan serta meringankan beban kewangan ibu bapanya.

Encik Khairul, yang kini bekerja sebagai Penganalisis Produk dan Perkhidmatan di UBS AG Singapore, berkata beliau merancang untuk menceburi bidang perbankan dan kewangan Islam pada masa depan.

MAHU PERBETUL TANGGAPAN TENTANG RIBA

“Saya ingin melanjutkan pengajian dalam perbankan Islam, selepas saya menimba lebih banyak pengalaman bekerja.

“Saya berpendapat, sebagai orang Islam, saya dapat lebih memahami dan mengamalkan perbankan Islam dengan lebih baik.

“Selain itu, saya juga ingin memperbetulkan tanggapan sesetengah orang tentang kaitan riba denga bidang perbankan dan kewangan, kerana bidang ini mempunyai lebih banyak aspek yang mungkin orang ramai tidak ketahui,” kata beliau.

Nasihat beliau kepada anak muda sepertinya – ceburi kerjaya yang anda banggakan.

“Cari kebahagiaan dalam hidup, dan ceburi kerjaya yang anda banggakan. Jika anda dapat mencari kerjaya yang anda banggakan, anda akan berazam untuk melakukan yang terbaik, meskipun anda melalui hari-hari yang sukar,” kata Encik Khairul dalam ucapan perpisahannya di majlis konvokesyen.

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *