Vivian Lee, Bekas Temanita Alvin Tan, Diarah Bela Diri Di Mahkamah Atas Tuduhan Hina Islam

KUALA LUMPUR: Sebuah mahkamah di Kuala Lumpur memerintahkan Vivian Lee, iaitu bekas teman wanita blogger kontroversi Alvin Tan, supaya membela diri terhadap pertuduhan mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan.

Ini setelah dia menerbitkan penerbitan menghasut dalam laman sosial Facebook, tiga tahun lalu.

Hakim Abdul Rashid Daud membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Vivian Lee atau Lee May Ling, 27 tahun, di akhir kes pendakwaan hari ini (14 Apr).

Mahkamah menetapkan 10 dan 11 Mei untuk Lee, membela diri dengan memberi keterangan secara bersumpah terhadap pertuduhan tersebut mengikut Akta Hasutan.

Mengikut pertuduhan, Vivian Lee dan Alvin Tan didakwa menyiarkan gambar mereka menikmati hidangan dengan kapsyen bertajuk ‘Selamat Berbuka Puasa (with Bak Kut Teh…fragrant, delicious and appetising (‘Selamat Berbuka Puasa (dengan) Bak Kut Teh, Wangi, Enak dan Menyelerakan’ yang mengandungi logo halal.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu melalui laman sosial Facebook pukul 9.00 pagi pada 12 Julai 2013.

Bagaimanapun, Abdul Rashid melepaskan dan membebaskan Lee daripada pertuduhan menyiarkan gambar lucah di Facebook.

Ketika ditanya wartawan di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengenai pertuduhan terhadap Alvin Tan, beliau berkata: “Pada hari ini keputusan hanya terhadap Lee bagaimanapun pendakwaan terhadap Tan masih diteruskan meskipun tanpa kehadirannya di mahkamah”.

Mereka turut didakwa atas tuduhan menyiarkan gambar lucah dalam laman Facebook yang sama, antara 9.00 malam pada 6 Julai 2013 dan 2.00 pagi pada 7 Julai 2013.

Pada 6 Mac tahun lalu, pendakwa meneruskan perbicaraan terhadap Lee meskipun tanpa kehadiran Tan, 28 tahun, yang disyaki melarikan diri ke Amerika Syarikat bagi mengelak menghadiri prosiding perbicaraan.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *