Warga Singapura Ditahan Di Batam Dek Pakai Baju Lambang Tukul Dan Sabit

Seorang warga Singapura yang memakai baju dengan lambang tukul besi dan sabit semasa berlibur di Batam, ditahan dan disoal siasat, menurut Jakarta Post.

Lambang tukul besi dan sabit itu mirip lambang parti komunis, dan dilarang di Indonesia.

Pelancong itu, Azri Zulfarhan Kamsin, 29 tahun, memakai baju merah dengan lambang tersebut ketika bersiar-siar di Mega Mall Batam Centre kelmarin (30 Apr), lapor Merdeka.com. Beliau ke Batam untuk beriadah sempena cuti hujung minggu bersama anak dan isterinya.

Menurut Merdeka.com, Encik Azri sempat makan di pusat beli-belah tersebut, namun bajunya itu menarik perhatian ramai.

Beliau ditahan oleh para pegawai Komand Tentera Bandar Batam dan dibawa ke sebuah bilik soal siasat, lapor Jakarta Post.

Encik Azri memberitahu para pegawai bahawa beliau tidak tahu lambang tukul besi dan sabit dilarang di Indonesia.

“Itu oleh-oleh dari saudara saya yang berkunjung ke Vietnam,” katanya seperti ditukil Merdeka.com. Setelah memberikan penjelasan tersebut, Encik Azri dibebaskan pada hari yang sama.

Namun, Encik Azri diarahkan menanggalkan baju itu dan memakai baju lain. Merdeka.com melaporkan, baju merah tersebut dirampas oleh para pegawai untuk dijadikan bukti.

Belum pasti bagaimana Encik Azri dibenarkan melepasi pemeriksaan imigresen di Batam – adakah beliau ketika itu memakai baju dengan lambang tukul besi dan sabit tersebut atau memakai baju lain.

Seorang pegawai Komand Tentera Bandar Batam, Baziduhu Zebua, memberitahu Jakarta Post: “Lambang komunis itu yang menjadi masalahnya. Ia mungkin bukan satu masalah di Singapura, tetapi sepatutnya dia menghormati adat kami di sini di mana komunisme diharamkan. Ini sebabnya para pegawai memeriksanya dan mengarahkannya supaya menanggalkan bajunya.”

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *