Nama Pelajar Islam Disalah Eja Jadi ‘Isis’ Di Buku Tahunan Sekolah

Seorang pelajar California tertekan dan terpaksa menanggung malu, setelah gambar beliau sedang bertudung dipaparkan dengan nama “Isis Phillips” dalam buku tahunan sekolah tingginya.

Demikian menurut sebuah kumpulan penyokong masyarakat Islam semalam (8 Mei).

Pelajar tahun akhir di Sekolah Tinggi Los Osos di Rancho Cucamonga itu dan ibu bapanya “rasa malu setelah melihat gambar itu di buku tahunan itu, dan mengalami penderitaan emosi dan psikologi,” menurut kenyataan menerusi emel oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

Pengetua sekolah tersebut sudahpun meminta maaf atas apa yang disifatkannya sebagai “kesilapan pada cetakan”. CAIR menyatakan pasukan guamannya akan bertemu dengan keluarga pelajar itu dan pegawai-pegawai sekolah hari ini, dan meminta agar insiden tersebut disiasat, kata seorang jurucakap kepada Reuters.

ISIS merupakan salah satu gelaran bagi kumpulan Islamic State atau Negara Islam, kumpulan militan yang sudah merampas kuasa di sebahagian besar Iraq dan Syria, dan mengaku bersalah atas kejadian-kejadian pengeboman di Eropah.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan ISIS sebagai kumpulan pengganas.

Seorang pelajar yang terlibat dalam penerbitan buku tahunan tersebut berkata pihaknya tersilap mencetakkan nama yang salah itu, dan seorang lagi pelajar bernama Isis Phillips berpindah ke sekolah lain dari sekolah itu awal tahun ini, menurut laporan New York Daily News.

Gambar tersebut tersebar luas dan dikongsi berkali-kali di lelaman media sosial, termasuk dikongsi pelajar itu sendiri, yang nama sebenarnya ialah Bayan Zehlif, menurut New York Daily News.

“Saya amat sedih, meluat, hati saya terluka dan saya malu kerana buku tahunan Sekolah Tinggi Los Osos boleh terlepas dari perbuatan ini. Nampaknya nama saya ‘Isis’ dalam buku tahunan ini.

“Pihak sekolah sudah menghubungi saya dan ada hati beritahu saya mereka tersilap eja. Saya tidak setuju, marilah kita bercakap jujur,” menurut kenyataan yang ditulis pada apa yang kelihatan seperti laman Facebook milik Cik Zehlif.

Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada akaun itu milik pelajar Islam tersebut, dan sama ada ia adalah namanya yang sebenar.

CAIR enggan memberikan nama pelajar itu. Para pegawai di sekolah tinggi berkenaan pula tidak dapat dihubungi.

Susan Petrocelli, pengetua sekolah itu, berkata para pegawai akan memperbetulkan “kesilapan pada cetakan” itu. Sekurang-kurangnya 200 buku tahunan sudahpun diagihkan, menurut CAIR.

“Sekolah Tinggi Los Osos sedang mengambil semua langkah yang perlu untuk membetulkan dan menyiasat kesilapan pada cetakan hang dikesalinya pada buku tahunan itu. Kami dengan ikhlas meminta maaf,” kata Cik Petrocelli dalam kenyataan yang ditulis di Twitter.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *