Pembahas Madrasah Aljunied Menang Anugerah Pembahas Terbaik Di Qatar

Pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nazihah Mohamad Pauzi berjaya menjulang anugerah pembahas terbaik dalam Kejohanan Bahas Antarabangsa di Doha, Qatar baru-baru ini.

Tiga anugerah pembahas terbaik dari kalangan negara-negara bukan Arab diberikan, dan Nazihah merupakan salah seorang penerimanya.

Kesemuanya, empat pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah mewakili Singapura dalam kejohanan tersebut, iaitu Harithatunnu’man Hasbi, Muhammad Hariz Ramli, Humaira Julfikar Khan dan Nazihah Mohamad Pauzi.

Ini adalah kali kedua Madrasah Aljunied diundang untuk mengambil bahagian dalam kejohanan bahas dwi-tahunan itu, yang diadakan dalam Bahasa Arab.

PENCAPAIAN MEMBANGGAKAN

Pencapaian Nazihah selaku Pembahas Terbaik boleh dibanggakan kerana ia menunjukkan mutu pendidikan madrasah di Singapura. Ini sehinggakan ia berjaya melahirkan pelajar yang mempunyai bakat dan potensi yang besar, serta mampu menguasai pelbagai bahasa khususnya Bahasa Arab.

Semasa dihubungi BERITAMediacorp, Nazihah berkongsi pengalaman bertutur bahasa Arab di sana.

“Ia satu pendedahan bagi saya terhadap berbual dalam Bahasa Arab kerana pengalaman berbual Bahasa Arab antara kami di sekolah itu lain daripada kami berbual dengan mereka (para peserta negara lain). Jadi itu pun telah memperbaiki perbualan saya dalam Bahasa Arab,” kata Nazihah.

Dia juga mengambil peluang tersebut dan menjadikannya sebagai latihan untuk bertutur dalam bahasa Arab secara berkesan.

“Jika kita belajar tetapi tidak mempraktikkannya, ia akan menjadi susah. Memang mencabar untuk berbual dalam Bahasa Arab tapi saya menjadikannya satu motivasi untuk berbual dalam Bahasa Arab,” kata Nazihah lagi, kepada pihak kami.

Nazihah kemudian berkata, dia menghargai pelbagai usaha pihak madrasah untuk menanamkan rasa sayang akan bahasa Arab.

Walaupun demikian dia mengakui, menggunakan bahasa Arab dengan kumpulan penutur asli memang bukan mudah: “Ia memang sangat susah tetapi ia pengalaman yang amat baik.”

PASUKAN S’PURA MENANG 1, KALAH 4

Di peringkat saringan, pasukan dari Singapura itu mengalahkan Croatia tetapi tewas di tangan India, Kuwait, Ukraine dan Brazil. Ini menyebabkan mereka gagal mara ke peringkat suku akhir.

Pada tahun ini, 53 negara mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut, khususnya negara-negara Arab dan Teluk.

Negara-negara bukan Arab yang turut mengambil bahagian termasuk Amerika Syarikat, Britain, Croatia, Ukraine, Bosnia, Malaysia, Turki dan Singapura.

Tuan rumah Qatar muncul sebagai juara dalam kejohanan bahas ini, manakala Syria adalah naib johan.

Pasukan Madrasah Aljunied itu berada di Qatar dari 10 April sehingga 13 April untuk menyertai kejohanan tersebut. Mereka diiringi oleh pembimbing mereka, Ustaz Mohamad Nasrullah Refa’ie.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *