Kereta Toyota Estima Rakyat Singapura Yang Dicuri Sudah Ditemui, 7 Orang Dicekup

Pihak polis Malaysia percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi kereta di negara itu dengan penahanan lima lelaki termasuk dalangnya dan dua wanita pada hari Rabu (15 Jun).

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata siasatan mendapati sebuah Toyota Estima yang dirampas merupakan kereta milik seorang rakyat Singapura yang baru dibeli tiga hari, sebelum hilang di sebuah pusat beli-belah di Tampoi pada 7 Jun.

Kesemuanya, pihak polis merampas enam kereta daripada mereka yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 juta (S$330,000)

Datuk Wan Ahmad berkata kesemua suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun dan mereka ditahan dalam Ops Lejang Khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kulai.

“Penahan pertama berlaku pada 12.00 tengah hari terhadap seorang lelaki di Taman Anggerik, Kempas dan polis merampas sebuah kereta Toyota Altis daripadanya,” kata beliau kepada Bernama.

Datuk Wan Ahmad berkata siasatan lanjutan terhadap lelaki itu mendedahkan enam lagi individu terlibat sebelum pihak polis menahan lima daripada mereka di beberapa kawasan termasuk Permas Jaya, Taman Mount Austin dan Taman Munsyi Ibrahim pada hari yang sama.

Seorang lagi menyerah diri di IPD Kulai pada Jumaat (18 Jun).

Beliau menjelaskan pihak polis merampas lima kenderaan iaitu Toyota Estima, Nissan Sylphy, Mitsubishi Colt serta dua Toyota Wish daripada mereka.

Menurut beliau, pihak polis kini sedang memburu baki beberapa lagi individu yang terlibat manakala ketujuh-tujuh ditahan kini direman bagi membantu siasatan.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *