Angelina Jolie, John Kerry Sertai Majlis Iftar; Kritik Sikap Perkauman Trump

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry, mengecam Donald Trump kerana mengancam untuk mengharamkan orang Islam daripada memasuki negara itu.

Encik Kerry melemparkan kecaman tersebut di satu majlis iftar yang disertai para penganut berbilang agama di Virginia.

Tanpa menyebut nama calon presiden Amerika dari parti Republican itu, Encik Kerry berkata “retorik taksub dan berbaur kebencian terhadap orang-orang Islam hanya memanfaatkan golongan perekrut pengganas.”

Encik Kerry memberitahu para hadirin bahawa tindakan seperti itu memanfaatkan “individu-individu yang menyebarkan pembohongan bahawa Amerika berperang dengan Islam.”

Majlis iftar itu secara kebetulan diadakan pada hari yang sama dengan Hari Pelarian Sedunia, dan turut hadir di majlis tersebut ialah Duta Khas agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNHCR, yang juga pelakon terkenal, Angelina Jolie.

Jolie berkata “mencemuh sesiapa sahaja kerana agama, kerakyatan, orientasi seksual, jantina atau atas sebarang ciri-ciri atau perbezaan mereka, sama ada benar atau hanya bayangan, tidak membuat seseorang itu lebih kuat.”

Kekuatan itu, katanya, ialah mengenal pasti cara mengatasi cabaran “kumpulan minoriti amat kecil yang memilih laluan ekstremisme yang ganas, atau menyalahgunakan sesebuah agama, tanpa melakukan stigma dan memencilkan jutaan orang yang menganuti agama indah itu.”

Encik Kerry berkata “tiada bukti sama sekali” bahawa para pelarian yang melalui pemeriksaan ketat untuk memasuki Amerika Syarikat menjadi ancaman kepada masyarakat, seperti juga anggota kumpulan lain.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *