Wanita Yang Ugut Mahu Letupkan Masjid Ditangkap Polis

Seorang wanita ditangkap polis setelah mengugut mahu meletupkan sebuah masjid di Florida, di Amerika Syarikat.

Menurut laporan Russia Today (RT), wanita tersebut, Irina Bihary, antara lain dituduh merosakkan harta benda dan memiliki bom palsu.

Dalam kejadian pada Ahad lalu itu (19 Jun), Bihary, 40 tahun, datang ke masjid Yayasan Islam Selatan Florida pada sebelah pagi, dan bertindak mengoyakkan risalah-risalah serta menendang-nendang barangan di situ.

Seorang jemaah masjid, Rabia Khan, memberitahu Sun Sentinel: “Dia berkelakuan amat aneh.”

Bihary kemudian meninggalkan masjid itu, lapor RT. Namun dia kembali sekitar 5.00 petang dengan sebuah pakej dan telefon bimbit dengan bateri dan wayar-wayarnya kelihatan.

ANCAM “SEMUANYA MELETUP”, “KITA SEMUA AKAN MATI”

Wanita itu juga bertanya para jemaah soalan-soalan pelik, seperti berapa ramai orang akan hadir untuk menunaikan solat.

Menurut Miami Herald, Bihary ketika itu berkata: “Saya menyampah dengan tempat ini. Saya tak sabar untuk memusnahkannya. Saya tidak kisah jika kita semua mati di sini hari ini dan semuanya meletup. Pada akhirnya, kita semua akan mati.”

RT melaporkan, para jemaah kemudian menghubungi polis. Apabila polis tiba di masjid itu, Bihary cuba melarikan diri namun ditangkap. Masjid itu dikosongkan dan wanita itu disoal siasat.

Skuad pemusnah bom, anjing polis, ejen-ejen FBI dan ejen persekutuan Alkohol, Tembakau, Senjata Api menjalankan siasatan di masjid itu. Namun mereka tidak mendapati sebarang bahan letupan dan mengesahkan ugutan wanita itu adalah palsu.

Bihary dilaporkan memberitahu polis bahawa para jemaah masjid merupakan “parasit yang merampas wang” yang membunuh suaminya. Dia juga berkata jemaah di masjid bukan orang Islam yang sebenar dan masjid itu diasaskan oleh seorang pembunuh, lapor WPLG.

JEMAAH LEGA UGUTAN PALSU

Dia dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan mental.

Bihary menghadapi dakwaan melakukan perbuatan nakal serta memiliki bom palsu.

Menurut Sun Sentinel, dia dikenakan dua tuduhan merosakkan harta benda kerana menendang pintu balai polis.

Bagaimanapun, para jemaah masjid berasa lega ia hanya ugutan palsu.

“Dalam masa-masa berbahaya ini, kami risau ugutan seperti ini akan menjadi sesuatu yang buruk,” kata jurucakap Majlis Hubungan Amerika-Islam di Florida, Wilfredo Ruiz kepada WPLG.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *