TMJ Dakwa Ada Bukti FAM Amalkan Rasuah Selama 30 Tahun

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mendakwa beliau mempunyai bukti bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dicemari amalan rasuah selama 30 tahun.

Dalam catatan di laman Facebook rasmi kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini (18 Julai), Tunku Ismail memuat naik gambar beliau sedang memegang ‘pendrive’ sambil tersenyum.

Beliau juga mendakwa mempunyai butiran lanjut amalan rasuah itu, termasuk ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, pengambilan duit kelab dan laporan audit yang “merepek”, menurut Malaysiakini.

“Apa yang pelik adalah anda semua boleh terima selama ini dan sanggup mempertegakkan 30 tahun korupsi dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Ini adalah ‘pendrive’ diberikan kepada saya oleh sahabat-sahabat saya yang berkedudukan tertinggi di Kuala Lumpur.

“Ia berkenaan maklumat dan aktiviti dalam FAM, ketirisan penjualan tiket perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia, orang-orang media yang FAM selalu gunakan termasuk bekas-bekas pemain di Malaysia, duit-duit kelab yang diambil oleh FMLLP (Usahawan Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia) dan diberikan kepada FAM serta laporan audit yang merepek,” tulis Tunku Ismail dalam catatan di Facebook Johor Southern Tigers.

JANGAN DIAJAK PENEMBAK TEPAT PERGI MENEMBAK Anda memberi komen tentang pemain yang bersara dan membuat kenyataan…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Sunday, 17 July 2016

Tunku Ismail menambah, beliau memutuskan untuk mendedahkan demikian hari ini kerana “mungkin sudah sampai masanya untuk penyokong bola sepak tanahair melihat dan menilainya sendiri.”

“Akhir sekali, saya ingin mengingatkan, duit rakyat sepatutnya digunakan untuk rakyat sahaja. Bukan untuk bola sepak dan kepentingan politik. Sila selesai isu gaji pemain yang sudah lama tidak diselesaikan,” kata beliau.

Selain itu, Tunku Ismail juga mengkritik komen-komen yang dikeluarkan tentang persaraan empat pemain JDT dari skuad kebangsaan, dan berkata, ia “seolah-olah mereka tidak pernah berkhidmat dan mencapai kejayaan bersama pasukan kebangsaan.”

Empat pemain JDT – Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Amirul Hadi Zainal dan S Kunanlan – mengumumkan persaraan mereka sebelum ini. Tunku Ismail ketika itu mendakwa mereka bersara kerana tidak diberi layanan baik.

“Apa yang susah sangat untuk menghormati keputusan mereka? Satu perkataan sahaja yang anda (pengkritik) harus katakan tentang mereka atau kepada mereka iaitu ‘terima kasih’.

“Terima kasih atas pengorbanan mereka selama ini. Itu sahaja,” tulis Tunku Ismail dalam catatannya di Facebook.

TMJ DEDAH DOKUMEN BUTIRAN KELEMAHAN PASUKAN, FAM

Dalam satu lagi catatan di Facebook itu beberapa jam setelah itu, Tunku Ismail juga mendedahkan sesetengah maklumat yang menurutnya, dicetak dari sumber dalaman FAM dan “salah satu organisasi tertinggi yang masih sayangkan bola sepak Malaysia.”

Antara masalah yang didapati pada pasukan kebangsaan, kata beliau memetik dokumen itu, ialah “kualiti pada jurulatih tidak memuaskan” dan “pemilihan pemain di tahap liga diganggu oleh pegawai-pegawai atasan”.

SESETENGAH MAKLUMAT DI HALAMAN 3.1.2.1 dan 3.1.2.2 YANG TELAH DICETAK DARI SUMBER DALAMAN FAM DAN SALAH SATU ORGANISASI…

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, 18 July 2016

Antara masalah pengurusan yang didapati dalam FAM pula, menurutnya, ialah “FAM menggunakan kaedah lama dalam pengurusan bola sepak”, “gaji jurulatih tempatan dan jurulatih pasukan kebangsaan terlalu tinggi” dan “tidak pernah mengambil serius skandal mengatur perlawanan.”

FAM NAFI BENARKAN BUDAYA RASUAH

Sementara itu, FAM menegaskan pihaknya tidak membenarkan budaya rasuah dalam persatuan itu kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut bertegas dalam menangani rasuah, lapor Malaysiakini.

“Jawatankuasa Integriti juga ditubuhkan FAM untuk memantau bukan sahaja pasukan bola sepak, malah keseluruhan pentadbiran dan juga barisan kepimpinan,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dalam sidang media hari ini.

Datuk Hamidin juga menambah, “sesiapa sahaja ada hak (laporkan) kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia” ketika ditanya sama ada beliau berpendapat Tunku Ismail perlu melaporkan perkara itu kepada SPRM.

Datuk Hamidin berkata beliau akan menghubungi sendiri Tunku Ismail berhubung hal itu.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *