Nak Makan Mee ‘Bakso Astaghfirullah Aladzim’? Mari Ke Bandung

INDONESIA: Jika anda melancong ke Bandung, Indonesia dan perut anda sedang ‘berkeroncong’ hebat, mungkin anda perlu mencuba bakso di gerai ini.

Ini bukan sembarangan bakso.

Dengan saiznya yang luar biasa, sebesar bola sepak, bakso ini diberi nama ‘Bakso Astaghfirullah Aladzim’.

Cabarannya adalah untuk menghabiskan sebiji daging bakso itu sendirian.

Untung nasib badan, anda mungkin akan mendapat hadiah dari pemilik gerai. Menarik bukan?

“Kalau yang bersaiz besar ini boleh dihabiskan seorang satu, mereka tidak perlu membayarnya. Malah, akan diberikan sebiji bakso lagi untuk dibawa pulang,” pemilik gerai, Laman, memberitahu wartawan stesen TV NET News.

Laman sudah memulakan perniagaan menjual bakso sejak tahun 1985, namun setahun setengah yang lalu beliau memutuskan untuk cuba menjual ‘Bakso Astaghfirullah Aladzim’, lapor NET News.

“Bakso yang besar ini asli daging sapi. Tidak ada campuran daging-daging lain,” jelas Laman.

Dengan harga 150,000 Rupiah (S$15), bakso raksasa itu berjaya mencuri perhatian pelanggan.

“Bukan hanya tepung semata-mata. Dagingnya memang terasa. Pada awalnya kami ingatkan mahu membeli dua. Tetapi ternyata saiznya lebih besar daripada gambar. Memang Astaghfirullah Aladzim!” kata salah seorang pelanggan, Sandi Taufik dengan gelak ketawa.

Bagi mereka yang khuatir tidak mampu menghabiskan bakso sebesar itu pula, terdapat juga bakso lebih kecil bersaiz bola tenis, menurut laporan NET News.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *