Gara-gara terpengaruh dengan tawaran satu sindiket untuk menunaikan ibadah haji menggunakan kuota haji Filipina, seramai 177 rakyat Indonesia kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen negara itu.
Media-media tempatan melaporkan kesemua warga Indonesia itu terpedaya dengan sindiket ejen haji sebuah syarikat tempatan yang ‘menawarkan’ khidmat membawa jemaah negara itu menerusi penerbangan dari Manila, Filipina.
Sindiket itu dikatakan mengenakan bayaran sehingga AS$10,000 (S$14,000) bagi setiap bakal jemaah haji dan mereka berlepas dari Sulawesi Selatan ke Manila pada 19 Ogos lalu.
Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla ketika mengulas kejadian itu berkata sebanyak 177 bakal jemaah haji itu ditahan pihak berkuasa Filipina kerana kesalahan menggunakan pasport Filipina.
Beliau berkata kerajaan Indonesia sedang berusaha membantu mereka supaya tidak dikenakan hukuman.
Menurutnya mereka adalah mangsa penipuan dan pemerintah Indonesia meminta supaya kesemua mangsa sindiket itu dibebaskan pihak berkuasa Filipina.
Sementara itu, media-media online memetik jurucakap Kedutaan Indonesia di Filipina sebagai berkata bahawa mangsa sindiket haji itu secara berperingkat ditempatkan di Kedutaan Besar Indonesia di Filipina.
“Walaupun dipindahkan ke kedutaan itu, mereka masih tidak dibenarkan pulang ke tanah air kerana perlu membantu siasatan.
“Kedutaan telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Filipina bahawa mereka adalah mangsa dan tidak mengetahui mengenai modus operandi ejen terbabit,” kata jurucakap itu.
Kesemua mangsa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Manila ketika hendak berlepas ke Jeddah setelah pihak berkuasa mendapati pasport mereka mencurigakan dan mereka tidak boleh berbahasa Tagalog iaitu bahasa kebangsaan Filipina.
Setelah disiasat, kesemua 177 jemaah haji itu didapati bukan warga Filipina dan mereka memasuki negara itu sebagai pelancong sebelum diberikan pasport Filipina bagi tujuan menunaikan haji.
Kuota Haji Filipina dikatakan tidak dipenuhi umat Islamnya setiap tahun. Sementara itu, Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota 168,000 jemaah haji dari Indonesia tahun ini.
Bagaimanapun, waktu menunggu giliran haji di Indonesia kini adalah lebih 20 tahun ekoran jumlah yang mendaftar untuk menunaikan ibadah itu semakin meningkat setiap tahun.
Source: Berita MediaCorp