RM50 Dikenakan Bagi Kad Bayaran Jalan Raya Kenderaan Singapura?

Seorang Anggota Dewan Negeri menyarankan agar kerajaan mengenakan bayaran RM50 (S$16.50) bagi kad-kad bayaran jalan raya untuk kenderaan-kenderaan yang berdaftar di Singapura.

Anggota Dewan Negeri Kempas, Datuk Tengku Putra Haron Aminurrashid juga menggesa agar pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang disarankan, serta merta dilaksanakan, lapor laman The Star Online.

Menurut The Star, Tengku Putra Haron berkata VEP sepatutnya sudah lama dilaksanakan, kerana ia mulanya dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya tahun lalu namun sistem itu beberapa kali mengalami penangguhan.

“TIDAK ADIL TANGGUNG BEBAN UNTUK KEMUDAHAN WARGA ASING”

“Tidak adil bagi para pembayar cukai menganggung beban kos pembinaan jalan raya dan penyenggaraan di dalam negeri dan negara ini untuk kemudahan warga asing.

“Malah juga tidak adil pembayar cukai terus membiayai mereka yang bekerja di seberang Koswe,” katanya seperti ditukil The Star dalam sidang media selepas dewan rakyat bersidang semalam.

Tengku Putra Haron mendakwa bahawa cadangan mengenakan bayaran jalan raya untuk kenderaan asing bukan sesuatu yang baru, kerana beliau sudah menyarankannya menerusi satu memorandum pada 2002, ketika beliau ketua Biro Aduan UMNO Pulai.

Katanya lagi, beliau ketika itu menyerahkan memorandum yang mengandungi saranan untuk mengenakan levi RM10 (S$3.30) bagi setiap kenderaan berdaftar di Singapura yang memasuki Malaysia menerusi Koswe di Johor Bahru dan Link Kedua di Gelang Patah.

“MUNGKIN BOLEH MENGAUT UNTUNG BERBILION RINGGIT JIKA IKUT SARANAN”

Menurutnya, sekiranya kerajaan melaksanakan saranannya ketika itu, negara itu mungkin mengaut RM2 bilion (S$660 juta) sepanjang 14 tahun lalu, dan RM400 bilion (S$132 juta) dari jumlah itu boleh digunakan untuk memperbaiki prasarananya.

The Star melaporkan, beliau juga menyarankan agar bayaran RM50 (S$16.50) setiap tahun yang perlu diperbaharui dikenakan pada kad-kad yang digunakan untuk memotong caj VEP.

Katanya, kerajaan akan menerima untung sekitar RM6 juta (S$2 juta) setiap tahun sekiranya bayaran tambahan itu dikenakan.

Tambahnya lagi seperti ditukil The Star, Singapura sendiri mengenakan bayaran S$10 (RM30) setiap tahun bagi kad Autopass.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *