Anak 2 Tahun Maut Dilanggar: “Saya Dengar Bunyi Tulang Anak Saya (Patah)”

Hancur luluhnya hati seorang ibu apabila orang yang menyebabkan kematian anaknya dilepaskan daripada hukuman penjara.

Fahima Hassan yang berusia dua tahun, sedang berjalan dipimpin ibunya apabila dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh Hoden Aden, 44 tahun, seorang ibu kepada tujuh orang anak, menurut Daily Mail.

Mahkamah mendengar bahawa Hoden sedang bercakap di telefon sambil mencari tempat meletak kereta, memandu pada kelajuan lapan kilometer sejam.

Namun, penglihatannya terhadang oleh sekotak tisu di bahagian depan keretanya dan tidak menyedari dia sudah melanggar seorang kanak-kanak.

Yang paling mengejutkan, menurut laman Daily Mail, Hoden mempercayai bahwa dia terlanggar troli dan terus menerus melanggar kanak-kanak berkenaan untuk beberapa ketika.

Pada awalnya, Hoden tidak mengaku bersalah menyebabkan kematian dengan memandu secara cuai namun didapati bersalah pada bulan lalu menyusuli perbicaraan selama empat hari.

Kini, Hoden dijatuhi hukuman penjara 14 bulan, namun ia digantung selama dua tahun setelah mahkamah mendengar bahawa dia tidak sihat dan perlu menjaga ibunya yang sedang sakit.

Ibu Fahima, Narmin Nur yang tidak dapat menahan perasaan semasa hukuman itu dijatuhkan berlari keluar dari mahkamah, lapor Daily Mail.

Beliau yang berusia 31 tahun itu berkata: “Kami tidak gembira dengan hukuman itu.

Bagaimana ini yang dipanggil keadilan? Kami amat bersedih.

“Bagaimana seseorang boleh membunuh seorang kanak-kanak namun masih boleh keluar seperti biasa? Saya tidak boleh mempercayainya. Saya tahu tiada hukuman yang boleh membawa kembali Yaya (nama timangan Fahima), namun kami ingatkan dia mungkin dipenjara untuk beberapa tahun.

“Semasa dia memandu saya boleh mendengar bunyi tulang-belulang anak saya. Saya tahu dia tidak sengaja membunuh anak saya, namun dia tidak pernah berkata apa-apa kepada saya,” tambah Cik Narmin.

Sebelum kemalangan itu, Fahima bersama ibunya baru sahaja meninggalkan pusat beli-belah Asda pada bulan September 2014 apabila Hoden melanggar Fahima dengan kereta Volkswagen Tguan sekitar pukul 8.20 malam (waktu London).

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *