Wartawan Mediacorp Liyana Othman Antara Penerima Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar

Lapan wartawan dan dua pertubuhan media diiktiraf atas liputan, fakta dan imej yang berkaitan dengan sekitaran di Anugerah Kewartawanan Alam Sekitar Asia (AEJA) pada Rabu (12 Okt).

Sebanyak 11 anugerah diberikan di AEJA tahun ini, iaitu majlis penyampaian anugerah tahunan yang dianjurkan oleh Majlis Sekitaran Singapura (SEC) bagi mengiktiraf kecemerlangan dalam bidang tersebut di Asia.

Wartawan Channel NewsAsia Liyana Othman adalah pemenang bersama bagi Anugerah Wartawan Muda Alam Sekitar SEC bagi liputan beliau terhadap isu-isu sekitaran yang mendesak dalam negara, sementara Channel NewsAsia mendapat anugerah bagi Pertubuhan Media Sekitaran SEC-Yayasan Lee bagi liputan mengenai kandungan yang mesra sekitaran sebagai sebahagian daripada inisiatif Saving Gaia.

Mediacorp menerima anugerah yang sama pada 2014, sementara Thomson Reuters diberikan anugerah tersebut pada 2015.

Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Chee Hong Tat yang menyampaikan anugerah itu turut menekankan “peranan kritikal” yang dimainkan oleh pihak media dalam melindungi alam sekitar dengan memaklumkan orang ramai dan membentuk pendapat dan pandangan awam mengenai isu-isu sekitaran yang penting.

Menurut Encik Chee, sama seperti jerebu rentas sempadan, isu-isu sekitaran menjejas lebih daripada satu negara, maka itu adalah penting untuk semua negara “memainkan peranan yang aktif dalam melindungi sekitaran global”.

AEJA menerima 234 penyertaan pada tahun ini, yang merupakan satu rekod, dengan peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding 2015, di mana 20 negara termasuk Azerbaijan, yang mengambil bahagian buat julung-julung kalinya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *