Puak Houthi Tembak Peluru Berpandu Ke Arah Makkah, Perbuatan Dikutuk Keras

Enam anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) menerajui kutukan keras terhadap serangan peluru berpandu Khamis lalu (27 Okt) dilancarkan kumpulan militan Houthi Yaman ke kota suci Makkah.

Saudi Gazette melaporkan GCC menyatakan serangan Houthi terhadap Makkah adalah “bukti penolakan mereka untuk mematuhi masyarakat antarabangsa dan keputusannya”.

Menteri Ehwal Luar Amiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Abdullah Bin Zayed, seorang anggota pakatan Arab dan GCC, menyalahkan Iran, yang menyokong Houthi.

“Rejim Iran sedang menyokong kumpulan pengganas yang melancarkan roket ke Makkah. Adakah ini rejim Islam seperti yang didakwa?” katanya melalui Twitter.

Bahrain juga mengutuk perkara itu semalam (28 Okt) melalui satu kenyataan dihantar ke Al Arabiya News Channel dengan menyatakan “menyasarkan tapak suci itu melambangkan penghinaan secara langsung kepada golongan Muslim merata dunia dan melahirkan kebencian dan jenayah agama bagi kumpulan militan.

Qatar juga memberi respons dengan menyatakan pelancaran serangan peluru berpandu ke Makkah itu menghalang usaha untuk meleraikan krisis Yaman secara aman.

Laporan Saudi Gazette menambah Majlis Shura Saudi turut mengutuk serangan peluru berpandu itu.

Presiden majlis itu Sheikh Abdullah Al-Asheikh berkata serangan yang disokong ejen-ejen rejim Iran di Yaman adalah pencabulan kesucian Tempat Ibadah Allah.

“Tindakan jenayah ini menyakiti perasaan lebih satu bilion Muslim merata dunia,” katanya sambil menambah tindakan sebegitu akan memperkukuhkan keazaman Kerajaan Arab Saudi itu untuk mengekang dan mengenal pasti sesiapa yang cuba untuk menyerang keselamatan negara dan rakyat negara itu.

Pakatan Arab yang berjuang di Yaman menyatakan pada Khamis lalu bahawa ia memusnahkan peluru berpandu itu 65km dari bandar suci tersebut sebelum ia dapat menyebabkan sebarang kerosakan, dan membalas serangan itu di tapak pelancarannya di Yaman, menurut kenyataan tersebut yang ditukil Saudi Press Agency.

Saudi Gazette menambah Houthi mengesahkan melancarkan peluru berpandu Burkan-1 ke Arab Saudi dalam satu kenyataan menerusi agensi medianya, tetapi menambah ia disasarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *