Kanak-Kanak Mati Lemas Di Taman Tema Air Di Johor

Kegembiraan seorang bapa menyambut cuti Deepavali bersama-sama keluarganya bertukar pilu apabila anak lelakinya ditemui lemas di sebuah kolam di taman tema air di Parit Bilal, Batu Pahat, petang Isnin (31 Okt).

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata kejadian itu berlaku ketika keluarga berkenaan sedang bermandi-manda selepas kira-kira 20 minit mengunjungi taman tema itu pada 3.30 petang.

“S. Rishither, 6 tahun, ditemui lemas oleh bapanya S. Surentharan di sebuah kolam renang yang mempunyai kedalaman lima kaki, tidak jauh dari tempat keluarganya bermandi-manda pada 3.50 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (1 Nov).

Katanya pihak pengurusan taman tema membantu keluarga itu membawa mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ke Klinik Kesihatan Tongkang Pechah dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di klinik itu yang kemudiannya melaporkan kejadian itu kepada polis.

Beliau berkata kes itu dikategorikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah.

“Hasil keterangan daripada keluarga mangsa menyatakan bahawa mereka terdiri daripada dua keluarga seramai sembilan orang yang datang dari Taman Pelangi, Kluang, ke taman tema air itu untuk berkelah sempena cuti Deepavali,” katanya.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *