KAHIRAH, MESIR: Masyarakat Melayu/Islam Singapura memerlukan kepimpinan keagamaan yang kuat dan berwibawa.
Ini sedang Singapura berdepan dengan cabaran-cabaran ekonomi baru. Malah, masyarakat Melayu/Islam juga perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baru untuk terus berkembang.
Mutu dan nilai kepimpinan yang tulen jugalah yang akan memberi manfaat kepada masyarakat Melayu/Islam, di tengah-tengah sekitaran yang tidak menentu dan berubah-ubah.
Demikian ditegaskan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, kepada para pelajar Singapura yang baru tamat pengajian di Universiti Al-Azhar di Kahirah. Majlis konvokesyen (1 Nov) bagi 45 penuntut Singapura di ibu kota Mesir itu lebih istimewa, kerana buat pertama kalinya, diserikan dengan kehadiran Presiden Tony Tan Keng Yam, yang kini dalam rangka lawatan negara selama lima hari ke Mesir.
Presiden Tony Tan Keng Yam bersama graduan Singapura, Aufa Muhammad Sidqee di majlis konvokesyen di Universiti Al-Azhar. (Gambar: MUIS)
MANFAATKAN PEJABAT KERJAYA DAN KEBAJIKAN PELAJAR (SCWO)
Dr Yaacob yang juga merupakan Menteri Perhubungan dan Penerangan menekankan, semangat ingin tahu dan terus menerus belajar merupakan satu lagi kualiti penting kepimpinan. Lantaran itu, beliau mengajak para graduan supaya melihat majlis konvokesyen itu sebagai “hanya satu tahap dalam perjalanan panjang untuk mempertingkatkan diri anda”.
“Anda mesti secara konsisten mempertingkatkan diri anda dengan ilmu dan kemahiran-kemahiran yang relevan, untuk bergerak seiring dan berkembang maju dalam dunia yang sentiasa berubah,” ujar Dr Yaacob dalam ucapan tersebut.
Beliau kemudian memberitahu para graduan universiti ulung itu, bahawa mereka boleh memanfaatkan sumber-sumber dari Pejabat Kerjaya dan Kebajikan Pelajar (SCWO) yang baru ditubuhkan. SCWO menawarkan peluang-peluang latihan kepada mahasiswa dan siswazah dalam usaha mempersiapkan mereka untuk ekonomi baru. SCWO bekerjasama dengan agensi-agensi awam dan swasta.
FAHAMI KOMPLEKSITI MASYARAKAT & DAPATKAN ILMU DI LUAR DISIPLIN KEAGAMAAN
Menyentuh mengenai Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS), Dr Yaacob berkata MUIS merancang untuk menjalankan lebih banyak lagi program untuk para graduan Singapura dari universiti Islam luar negara. Program-program tersebut merupakan “satu keperluan” sebelum mereka didaftarkan ke dalam ARS, kongsi Dr Yaacob.
Program tersebut, di mana para pesertanya didedahkan kepada pelbagai perspektif berhubung tradisi Islam dan konteksnya dengan kehidupan moden, “akan mempersiapkan anda untuk berjaya sebagai asatizah”, kata Dr Yaacob lagi.
(Gambar-gambar: MUIS)
Beliau yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber, menyeru para graduan Islam Singapura supaya “memahami kompleksiti masyarakat” dan mempunyai kemahiran berbeza-beza “di luar disiplin sains keagamaan”.
Dr Yaacob berharap mereka juga akan mendewasa dengan menjadi “satu suara yang berkeyakinan untuk masyarakat progresif kita, untuk membimbing masyarakat supaya istiqamah dengan agama kita, dan menyumbang kepada pembinaan sebuah negara yang harmoni”.
Selain Presiden Tony Tan, majlis konvokesyen itu turut dihadiri Timbalan Imam Besar Al Azhar, Dr Abbas Shoman, Duta Singapura ke Mesir, Encik S Premjith dan Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad.
Source: http://berita.mediacorp.sg