Mahathir ‘Iri Hati’ Dengan Kerajaan Pimpinan Najib Yang Kian Rapat Dengan China

Komen terbaru Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan Malaysia adalah kerana beliau cemburu dengan keupayaan Perdana Menteri Najib Razak menarik pelaburan bernilai berbilion dolar dengan China, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Nazri Aziz hari ini (3 Nov).

Encik Nazri menyifatkan komen mantan perdana menteri itu sebagai iri hati kerana sepanjang 22 tahun beliau berkhidmat sebagai perdana menteri Dr Mahathir gagal meraih pencapaian sedemikian.

“Saya rasa Dr Mahathir sedang memikirkan waktu beliau menjadi PM atau menteri. Pada masa itu China adalah sebuah negara komunis tetapi China kini sudah berubah.”

“China sekarang berbeza daripada yang dulu. Beliau cemburu, saya rasa. Beliau tidak suka perkara ini sebab itu beliau masih berkata tentang keyakinan pelabur yang konon-kononnya sudah merosot dan kami akan menjadi bankrap,” kata Encik Nazri kepada para wartawan di lobi Parlimen.

Menurut Encik Nazri, ia bukan mudah untuk mendapatkan pelaburan bernilai hampir RM144 bilion (S$48 bilion), walaupun dari sebuah negara seperti China.

“Apabila China mahu melabur sebanyak itu di Malaysia, (ia) menunjukkan bahawa China yakin (dengan) bagaimana PM mentadbir negara,” kata Encik Nazri.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *