Faizal Tahir Perjelas Kontroversi Kulit Album; Dituduh “Iluminati, Murtad”

Penyanyi Faizal Tahir memperjelaskan bahawa kulit album terbarunya berjudul Anatomi ada kaitan dengan beberapa perkara dalam kehidupannya.

“Sejak kulit album ini keluar banyak tanggapan positif dan negatif saya terima, ada yang kata ia iluminati, freemason dan ada juga yang nampak ia seperti salib dan menuduh saya murtad.

“Secara dasarnya kulit album Anatomi ini simbolik kepada lagu-lagu dalam album ini dan beberapa benda yang berkaitan dengan kehidupan saya,” kata beliau kepada mStar Online.

Beliau juga menambah beliau mempunyai kepercayaan yang kuat terhadap Allah dan percaya Allah sentiasa memberi bimbingan kepadanya, tambah laporan mStar Online.

Penyanyi lagu Assalamualaikum itu menjelaskan kontroversi kulit album baru yang menjadi viral di laman sosial sejak ia dikeluarkan minggu lalu.

Beliau menerangkan bahawa simbol kuda merupakan lambang tahun kelahirannya, manakala sayap pula berkaitan dengan pasukan bola sepak kegemarannya iaitu Liverpool.

mStar Online melaporkan bahawa menurut Faizal, gambar wanita berpurdah pula merupakan simbol rasa hormatnya kepada kaum wanita yang menutup aurat dan gambar kanak-kanak berkepala televisyen pula menonjolkan kanak-kanak zaman sekarang yang terlalu terdedah kepada internet dan televisyen.

“Foto saya empat tangan dan kaki serta tidak berbaju pula adalah lambang lukisan Leonardo da Vincci. Ada juga yang mempersoalkan tentang aurat kerana saya tidak berbaju dalam kulit album ini.

“Bagi saya ramai lagi penyanyi wanita yang kulit album tidak bertudung dan mendedahkan aurat,” ujarnya kepada mStar Online.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *