Wanita Dakwa Pemandu GrabHitch Tunjukkan ‘Anu’

Seorang pemandu GrabHitch disingkirkan daripada wadah khidmat perkongsian kereta itu setelah dipercayai menunjukkan kemaluannya kepada seorang penumpang wanita di Malaysia.

Syarikat tempahan teksi dan kereta sewa privet, Grab Malaysia menyatakan demikian kepada laman Malay Mail Online, sambil menambah pihaknya amat menyesali insiden tersebut.

“Pasukan kami sudah berhubungan dengan beliau (penumpang itu) dan pemandu itu sudah disingkirkan daripada wadah kami,” kata Jagyan Fu, ketua Grab Malaysia dalam satu kenyataan kepada Malay Mail Online.

Tindakan pemandu terbabit terbongkar setelah penumpang wanita tersebut menceritakan tentang gangguan seks yang dialaminya, di laman Twitter beliau.

Wanita itu, yang menggunakan akaun Twitter @evonne127, berkata beliau menggunakan khidmat GrabHitch untuk ke pusat beli-belah minggu lalu. Beliau rasa tidak sedap hati sebaik sahaja masuk ke dalam kereta Nissan Almera yang dipandu pemandu lelaki itu.

DEDAHKAN ‘ANU’ KETIKA DI LEBUH RAYA

Menurut Malay Mail Online, wanita itu menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila pemandu tersebut kerapkali bertanyakan soalan peribadi kepada beliau dan terus-menerus cuba bercakap dengan beliau.

Semasa berada di lebuh raya, tiba-tiba pemandu berkenaan mendedahkan kemaluannya.

“Apabila kami di lebuh raya, saya melihat lelaki ini mendedahkan ‘anu’nya. Saya pun rasa macam apa yang sedang berlaku ini? Ketika itu saya rasa panik.

“Mujur saya memegang kunci saya dan saya tidak mengendahkannya. Saya benar-benar mahu keluar daripada kereta itu,” tulis @evonne127 seperti ditukil Malay Mail Online.

Wanita itu berkata ketika itu, pemandu GrabHitch tersebut asyik mengusik beliau dan “bersiul”, namun beliau berpura-pura tidak mendengar dan hanya melihat kepada telefon bimbitnya.

HUBUNGI GRAB, NAMUN DIMINTA TULIS EMEL

“Dia asyik tanya saya soal peribadi dan pada ketika itu saya hanya mengangkat bahu dan berpura-pura tiada apa yang sedang berlaku, padahal saya sudah bersedia mahu menikamnya,” kata @evonne127 lagi.

Menurut Malay Mail Online, sebaik sahaja tiba di destinasinya, wanita itu menghubungi Grab untuk membuat aduan terhadap pemandu tersebut, namun diminta menulis emel kerana individu yang menjawab panggilannya “tidak tahu apa yang harus dibuatnya.”

Menurut Malay Mail Online, apabila dihubungi, Grab Malaysia mengesahkan kejadian itu.

“Keselamatan semua penumpang kami amat penting bagi kami dan kami tidak mengambil ringan apa sahaja yang boleh membahayakan keselamatan mereka dan menjejas perjalanan mereka, justeru kami akan melakukan sedaya upaya untuk menghuraikan situasi itu,” menurut kenyataan Grab Malaysia.

Bagaimanapun, Grab Malaysia tidak menyatakan sama ada aduan polis akan dibuat terhadap pemandu GrabHitch itu, lapor Malay Mail Online.

Penumpang wanita tersebut sudah menukar status akaun Twitternya kepada akaun privet.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *