MUIS Dekati Ibu Bapa Demi Bantu Anak-Anak Tangani Radikalisme Di Media Sosial

MAJLIS Ugama Islam Singapura (Muis) bakal mendekati ibu bapa untuk memberi panduan kepada mereka bagaimana membantu anak mereka dalam mengendali radikalisme di media sosial.

Langkah terbaru Muis itu bakal diperkasa dengan menganjurkan sebuah seminar keibubapaan bagi menyediakan wadah kepada ibu bapa dalam menggunakan media sosial sebagai alat meningkatkan pembelajaran.

Ibu bapa juga bakal dibekalkan sebuah buku panduan bertajuk ‘Resilient Families: Safeguarding Against Radicalisation’ (Keluarga Berdaya Tahan: Berlindung dari Radikalisme).

Menurut jurucakap Muis, buku panduan ini julung kali diterbitkan Pejabat Mufti dalam usaha mempersiap dan memperkasa ibu bapa membimbing kanak-kanak menggunakan media sosial dengan selamat.

Seminar keibubapaan yang akan dianjurkan Sabtu ini bertajuk Parenting IRL (In Real Life)*: Raising The Snapchat Generation atau Keibubapaan (Dalam Hidup Sebenar): Membesarkan Generasi Snapchat.

Seminar dan buku panduan itu juga bertujuan menyedarkan ibu bapa tentang cabaran dalam percambahan media sosial dalam masyarakat hari ini.

Menurut jurucakap Muis, peranti elektronik yang menghubungkan mereka ke Internet digunakan secara meluas hari ini. Sesetengah anak mula menggunakan peranti sedemikian pada usia yang terlalu muda.

Bagi kanak-kanak dan remaja, media sosial menyediakan platform bagi mereka meneroka dunia maya melalui permainan dan interaksi. Ini mendedahkan mereka kepada pelbagai risiko.

 

Source: www.beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *