Ustaz Kazim Elias: Bayar Ganti Rugi Atau Minta Maaf

PETALING JAYA: Pendakwah popular Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menuntut permohanan maaf daripada seorang ibu yang mendakwa sekolah tahfiznya di Ipoh terlibat dalam penderaan seksual pelajar, atau membayar RM8 juta (S$2.6 juta) sebagai ganti rugi.

Menurut laporan mStar Online surat tuntutan yang bertarikh 18 November menyatakan Ustaz Kazim berkata catatan di Facebook yang ditulis wanita berkenaan bahawa berlakunya ‘kes penderaan kanak-kanak di sekolah Maahad Tahfiz di bahagian utara’ yang diketuai seorang ‘ustaz terkenal’, memberi bayangan bahawa ia adalah dirinya dan sekolah agamanya.

Peguam Ustaz Kazim menegaskan dakwaan-dakwaan itu menunjukkan bahawa anak guamnya menubuhkan ‘sebuah pusat penderaan seksual’.

Tambahnya, catatan itu juga membayangkan bahawa Ustaz Kazim adalah seorang pedofil dan menggunakan madrasah sebagai alat untuk menarik kanak-kanak dan melakukan salah laku seksual terhadap mereka, tambah laporan mStar Online.

Perkara itu disahkan peguam Firdaus Mohamood kepada The Star Online hari ini (22 Nov), yang berkata surat tuntutan diserahkan sendiri kepada wanita itu semalam dan wanita berkenaan mempunyai tujuh hari untuk membuat keputusan.

Ustaz Kazim sebelum ini menafikan dakwaan penderaan seksual melibatkan sekolah tahfiz miliknya, Pusat Pendidikan Al-Barakah dan beberapa aduan polis sudah dibuat.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *