Pembangkang Malaysia Minta Pemeteraian HSR Ditangguh

Perikatan pembangkang Malaysia, Pakatan Harapan, mahu pemeteraian perjanjian-perjanjian berhubung Kereta Api Laju (HSR) dengan pemerintah Singapura ditangguhkan.

Ini sehingga satu kajian mendalam, kukuh dan telus dijalankan untuk membuktikan kemampanan projek tersebut.

Para Anggota Parlimen (AP) dari Pakatan Harapan hari ini (6 Dis) menyatakan bahawa mereka mahu Malaysia bersikap terbuka tentang pendapatan yang mungkin diraih Malaysia hasil projek berkenaan dan bagaimana kos pembinaan akan ditanggung kedua-dua negara.

“Projek itu melibatkan jumlah-jumlah besar kewangan negara, dan banyak tanah rakyat dijangka akan diambil kerajaan untuk membangunkan HSR.

“Justeru, kerajaan tidak seharusnya merahsiakan maklumat tentang projek ini, seolah-olah ia negara Dunia Ketiga,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut ditandatangani oleh Sim Tze Tzin dari Parti Keadilan Rakyat, Hatta Ramli dari Parti Amanah Negara dan Ong Kian Ming dari DAP.

Satu perjanjian tentang HSR dijangka dimeterai oleh Malaysia dan Singapura menjelang akhir tahun ini.

Singapura dan Malaysia sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) tentang projek HSR itu pada Julai.

Laluan kereta api sepanjang 350km itu dijangka menyingkatkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada sekitar 90 minit.

Projek itu bukan sahaja akan meningkatkan keterhubungan dan memperkukuhkan hubungan ekonomi, malah kedua-dua pemerintah Singapura dan kerajaan Malaysia menyifatkannya sebagai bukti kerjasama dua hala yang rapat.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *