Pesakit Mental Sembuh Dengar Lagu Anuar Zain

Penyanyi Anuar Zain mempercayai sesebuah lagu mampu menjadi terapi jiwa seandainya karya yang diketengahkan itu mempunyai kualiti dan nilai sentimentalnya sendiri.

mStar Online melaporkan Anuar atau nama sebenarnya Shahrul Anuar Zain, 46 tahun, berkata kakaknya iaitu Ziana Zain pernah menceritakan seorang suami yang merupakan pesakit mental sembuh penyakit itu setelah mendengar lagu-lagunya yang berjaya memberi inspirasi buat dia.

“Tak tergambar perasaan saya apabila mendengar kisah itu di mana si isteri menyatakan suaminya yang pernah ditahan di wad pesakit mental beransur-ansur pulih setelah mendengar lagu-lagu dari sebuah album lama saya ketika berada di wad.

“Cerita itu benar-benar memberi inspirasi kepada saya sekali gus mengubah persepsi saya selama ini bahawa fungsi sesebuah lagu itu tidaklah sekadar satu hiburan untuk peminat malah terapi jiwa bergantung pada situasi dan keadaan,” katanya kepada mStar Online.

Anuar ditemui di majlis sidang media mengenai persembahannya iaitu Yonder Music Life Series By The Lake: Anuar & You di Le Meridien Kuala Lumpur, pada Isnin (5 Dis).

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *