Remaja Singapura Menyamar Sebagai Cucu Sultan Johor, Mengaku Tidak Bersalah Di Mahkamah

Seorang remaja lelaki warga Singapura mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini (7 Dis) atas tuduhan menyamar sebagai cucu Sultan Johor di sebuah kedai di Plaza Angsana, Ogos lalu.

Remaja berusia 15 tahun itu, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kedai menjual pakaian di Plaza Angsana, Tampoi, pada 4.30 petang, 6 Ogos lalu.

Prosiding di hadapan Majistret Salina Omar itu dijalankan secara tertutup kerana tertuduh merupakan pesalah bawah umur.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali yang ditemui selepas prosiding itu, tertuduh berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan majistret.

Katanya, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 (S$1,300) dengan dua penjamin warga tempatan dan menetapkan sebutan kes itu pada 5 Januari 2017.

Sementara itu, peguam Muhammad Ashraff Mohd Diah yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan merupakan pelajar di sebuah sekolah di Singapura.

Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *