Polis Swiss: Lelaki Yang Lepaskan Tembakan Di Dewan Solat Zurich Ditemui Mati

Polis Switzerland hari ini (20 Dis) menyatakan pihaknya sudah menemui mayat lelaki yang disyaki melepaskan tembakan hingga mencederakan tiga lelaki di sebuah dewan solat di Zurich.

Serangan pada petang Isnin itu (19 Dis) dipercayai tidak ada kaitan dengan ISIS, tambah kenyataan itu lagi.

“Kami menganggap lelaki yang sudah mati yang kami temui itu adalah dalang insiden tembakan di pusat Islam di Zurich,” menurut polis Zurich di laman Twitter.

Ia menambah “tiada tanda-tanda bahawa dalang itu ada kaitan dengan ISIS.”

Mayat tersebut ditemui selepas polis melancarkan operasi memburu suspek berhampiran tempat kejadian.

Ini setelah seorang lelaki, berusia sekitar 30 tahun, menyerbu masuk ke Pusat Islam di tengah Zurich sekitar 5.30 petang waktu tempatan dan mula melepaskan tembakan.

“Dia melepaskan beberapa das tembakan ke arah para jemaah,” sebelum melarikan diri, menurut polis.

Kebanyakan mereka yang berada di Pusat Islam itu, yang digunakan sebagai masjid, berasal dari Afrika Utara, Somalia dan Eritrea, menurut agensi berita ATS.

“Tiga lelaki, berusia 30, 35 dan 56 tahun cedera, setengah cedera parah. Suspek kemudian melarikan diri dari masjid itu ke arah Stesen Central,” menurut polis sebelum ini.

Mayat berkenaan ditemui beberapa ratus meter dari tempat kejadian tembakan itu di tebing sungai di bawah jambatan.

Sekitar 12 orang berada di dewan solat itu ketika insiden tersebut berlaku, lapor ATS.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *