Hattan Tidak Mahu Undang Fitnah, Tiada Akaun Media Sosial

PETALING JAYA: Penyanyi Hattan tidak berminat untuk membuka akaun Facebook atau Instagram kerana merasakan ia penuh dengan perkara negatif berbanding positif.

Hattan atau Mohd Shukri Shahabuddin, 52 tahun, berkata beliau juga tidak kisah sekiranya dikatakan tidak mengikut perubahan zaman kerana itu adalah pendiriannya.

“Saya memang tiada Facebook atau Instagram walaupun ramai beranggapan seorang artis perlu ada akaun media sosial.

“Jika ada kata saya kolot dan tidak mengikut perkembangan semasa, itu adalah hak mereka kerana keputusan itu adalah pendirian saya,” katanya kepada mStar Online.

Menerusi pemerhatiannya, Hattan berkata media sosial pada hari ini dilihat bukan untuk menyatukan masyarakat secara maya sebaliknya menjadi medan pergaduhan dan tempat menyebarkan fitnah.

“Apa yang saya lihat, media sosial sudah menjadi tempat untuk menyebarkan fitnah sehingga kadang-kala mampu membuat orang panik dan bimbang.

“Lihat sahaja berapa ramai artis yang menjadi viral dan dikatakan sudah meninggal dunia oleh fitnah pihak tidak bertanggungjawab?

“Jika hendak viralkan sesuatu perkara pun biarlah benda yang betul dan mendatangkan manfaat dan bukannya main muat naik status atau kongsi apa yang orang lain tulis,” ujarnya lagi kepada mStar Online.

Laporan mStar Online menambah Hattan turut menasihatkan golongan artis agar tidak terlalu taksub dengan media sosial sehingga memudaratkan diri.

Menurutnya, golongan artis sepatutnya menjaga nilai eksklusif diri mereka dan menggunakan teknologi dengan bijak.

“Saya kadang-kadang tidak faham, nak pergi ke tandas pun hendak beritahu semua orang dan muat naik gambar.

“Pada saya, kuasa media sosial itu memang penting untuk artis tetapi mereka juga perlu menjaga nilai eksklusif diri mereka.

“Saya faham ada ramai di antara mereka yang terikat sebagai duta produk yang memerlukan mereka sentiasa mengemas kini perkembangan tetapi jangan keterlaluan sehingga mampu merosakkan reputasi sendiri,” katanya.

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *