Tertidur dalam kenderaan mungkin perkara yang sering berlaku di kalangan para penumpang. Namun, insiden yang menimpa kanak-kanak enam tahun ini ternyata amat memilukan dan berlaku tanpa dijangka.
Seorang kanak-kanak lelaki didapati maut selepas dipercayai tertidur sekitar tiga jam dalam sebuah van dalam insiden di Bandar Country Homes pada Jumaat (21 Apr).
Menurut petikan laporan Sinar Harian pada Ahad, dalam kejadian sekitar jam 3.00 petang itu, Muhammad Iqram Danish Abdullah yang berusia enam tahun, dikatakan menaiki van berkenaan dalam perjalanan ke Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) bersama beberapa kanak-kanak lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Mohd Marzuki Mohd Mokhtar turut berkata, pemandu van berkenaan dikatakan tidak menyedari mangsa berada di dalam van tersebut.
Menurutnya, mangsa dikatakan sedang tidur ketika itu sementara kanak-kanak lain turun ke kelas Kafa tersebut.
“Bagaimanapun, kira-kira pukul 5.00 petang ketika mahu menjemput semula kanak-kanak itu, baru pemandu berusia 21 tahun itu menyedari mangsa masih berada di dalam van.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya, seperti ditukil Sinar Harian.
Beliau berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh oleh pemandu van berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia, dipercayai akibat diserang strok haba atau kepanasan.
Menurut laporan Sinar Harian, pemandu van itu kini ditahan reman selama tujuh hari kerana disyaki cuai.
Rilek1Corner
Source: http://berita.mediacorp.sg