Zaqy Disambut Baik Penduduk Marsiling

PENASIHAT akar umbi baru di GRC Marsiling-Yew Tee Encik Zaqy Mohamad melawat beberapa penduduk di rumah mereka semalam, kali pertama beliau berbuat demikian, sejak diumumkan sebagai pengganti Cik Halimah Yacob di sana. Encik Zaqy menghadiahkan beg berisi makanan kepada beberapa penduduk rumah sewa di Blok 3 Marsiling Road. Ia sebahagian program kebajikan tahunan Bringing Cheer @ Marsiling yang dianjurkan oleh kesatuan pekerja Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB).

Encik Zaqy, yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, dilantik sebagai penasihat Pertubuhan Akar Umbi (GRO) di sana bagi menggantikan Cik Halimah yang mengundur diri dari semua jawatan politik selepas  mengumumkan hasratnya bertanding di Pilihan Raya Presiden bulan depan. Bercakap kepada penduduk Marsiling di acara yang diadakan sempena Hari Kebangsaan baru-baru ini, Encik Zaqy berkata beliau bertekad meneruskan beberapa projek yang telah dimulakan Cik Halimah, seperti pembinaan pusat penjaja makanan baru, pusat dialisis dan memperkukuh khidmat bas awam di kawasan itu.

Dalam pada itu, Encik Zaqy, yang berpengalaman 11 tahun menjadi AP akan terus berkhidmat sebagai penasihat akar umbi di GRC Chua Chu Kang. Sebelum ini, Menteri Pembangunan Negara (MND) EnciK Lawrence Wong, yang juga mewakili penduduk Marsiling-Yew Tee, berkata penduduk tidak  harus bimbang bahawa perhatian AP di kawasan undi itu akan berubah, kerana pasukan AP di sana, termasuk Encik Ong Teng Koon dan Encik Alex Yam, akan bekerjasama untuk memastikan program kawasan undi dan Sesi Bertemu Penduduk (MPS) akan dijalankan seperti biasa.

 

Source: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *