Susu Ibu Dianggap “Tidak Halal”

Seorang ibu mengadu kakitangan sebuah hotel di Melaka menolak permintaannya membekukan susu badannya di peti sejuk dengan alasan ia ‘tidak halal’. Wanita bernama Chua yang menceritakan kejadian itu di laman Facebook bagi kumpulan ibu menyusu pada 18 Ogos lalu berkata, kakitangan lelaki di kaunter resepsi hotel itu menolak permintaannya walaupun selepas beliau menjelaskan susu ibu itu dihasilkan manusia.

PELANGGAN ‘HALAL’ DAN ‘TIDAK HALAL’?

“Saya tidak berputus asa dan cuba mendapatkan bantuan kakitangan lain untuk membekukan susu, tetapi hasilnya masih sama. Alasannya susu ibu tidak halal. Ketika itu, saya ada memberi penjelasan dan menerapkan pengetahuan mengenai susu ibu, tetapi tidak berjaya memujuk mereka. Susu ibu dihasilkan manusia, bukannya haiwan. Takkanlah pelanggan mereka juga perlu dibahagikan kepada halal dan tidak halal?” soalnya menerusi catatan itu sambil menambah beliau terpaksa membuang susu badannya dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.00 malam itu. Cik Chua berkata, keadaan sebaliknya berlaku pada keesokan harinya apabila beliau menghantar susu badannya ke bilik VIP yang beroperasi pada waktu siang, di mana kakitangan wanita membantu beliau membekukannya.

HOTEL MINTA MAAF

Selang beberapa hari, beliau melalui satu lagi catatan di Facebook memaklumkan hotel itu sudah meminta maaf kepadanya, selepas rakannya membuat aduan kepada pihak pengurusan. Hotel itu katanya, turut memaklumkan mereka ada menawarkan perkhidmatan membekukan susu ibu kepada pelanggan, termasuk pada waktu malam tanpa membezakan ia halal atau tidak. Cik Chua berkata, hotel itu menjelaskan petugas lelaki di kaunter resepsi menolak permintaannya kerana tiada pengetahuan mengenai susu ibu dan tidak biasa dengan cara menguruskannya.

“Mengimbau keadian itu, sebenarnya ia hanya kesilapan yang tidak disengajakan oleh segelintir kakitangan (lelaki) kerana mereka tiada pengetahuan mengenai susu ibu.” Beliau berharap orang ramai tidak akan menyalahkan hotel itu dan meminta pihak pengurusan tidak mengambil tindakan terhadap kakitangan terbabit, sebaliknya memberi pengetahuan mengenai susu ibu kepada mereka. Hotel itu tambahnya lagi, tidak memberi sebarang pampasan kepadanya dan beliau tidak mahu memperbesarkan kesilapan orang lain.

 

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *