Mufti Kongsi Pengalaman Peribadi Jadi Bapa

TANGGUNGJAWAB keibubapaan adalah sesuatu yang mencabar, lantas setiap ibu dan bapa perlu sedar mereka juga memerlukan sokongan dan dorongan. Berlatarbelakangkan kesedaran itu, Angkatan Karyawan Islam (AMP) dan Pusat Kebapaan (CFF) akan menganjurkan satu seminar keibubapaan bertajuk ‘Bersama Menjadi Ibu Bapa Berjaya’ pada 16 September.

Salah seorang penceramah di seminar yang akan diadakan di Hotel Crowne Plaza itu ialah Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram. Beliau, yang mempunyai empat anak berusia antara 17 dengan 23 tahun, akan berkongsi cabaran peribadi sebagai bapa dan cara beliau ambil untuk mengatasinya. Seorang lagi penceramah ialah pakar motivasi dari Malaysia, Datuk Dr Haji Mohd Fadzilah Kamsah.

Selain sesi perkongsian, kededua penceramah akan terlibat dalam sesi perbincangan panel yang dipengerusikan oleh seorang pakar psikologi, Dr Sharifah Mariam Aljunied. Pengerusi AMP, Encik Abdul Hamid Abdullah, berkata seminar itu bertujuan mendekati dan menyokong bapa Melayu/Islam menjadi bapa aktif. “Dalam keadaan dunia hari ini di mana keluarga dengan dua pendapatan semakin menjadi lumrah, berkongsi tanggungjawab keibubapaan menjadi semakin genting. Peranan bapa tidak terbatas pada menjaga disiplin dan menyediakan kewangan bagi keluarga sahaja, malah menyumbang secara saksama tanggungjawab keibubapaan. Menerusi seminar ini, kami berharap dapat menggalakkan bapa berkongsi pengalaman mereka memainkan peranan keibubapaan secara berkesan dengan pasangan masing-masing demi pembangunan anak-anak.”

 

Source: Berita Harian

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *