Memang, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Kemalangan jalan raya yang berlaku pada petang Khamis lalu (14 Sep) di simpang trafik Jalan Boon Lay dan Jurong West Avenue 2, mengubah nasib Cik Norazah Adam sekeluarga.
Segala keriangan dan ketawa senda mereka sekeluarga bagai dirampas, malah hati mereka seakan-akan dirobek bertalu-talu.
Tidak dapat dibayangkan betapa hancur luluhnya hati Cik Norazah sekeluarga yang terpaksa menerima hakikat bahawa dua orang anaknya ‘diragut’ dalam sekelip mata – seorang meninggal dunia, dan seorang lagi sedang menderita kesakitan akibat cedera parah.
Muhammad Haziq Juraimi, 20 tahun, meninggal dunia di tempat kejadian dan adiknya Muhammad Danish Juraimi, 17 tahun, mengalami pelbagai kecederaan teruk setelah motosikal yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori pembawa kontena.
ISI MUKA, BAHU & TANGAN BAHAGIAN KANAN TERSIAT HINGGA…
BERITAMediacorp diberitahu bahawa arwah Muhammad Haziq sedang dalam perjalanan menghantar adiknya, Muhammad Danish ke sekolah. Mereka baru sahaja sekitar lima minit bergerak dari rumah apabila nahas itu berlaku.
Muhammad Haziq meninggal dunia di tempat kejadian sementara adiknya Danish dan motosikal yang dinaikinya, diseret lori berkenaan sehingga terperangkap di bawah lori kontena itu. Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) yang bergegas ke tapak kemalangan kemudian, terpaksa menggunakan alat-alat hidraulik untuk mengeluarkan Danish.
(Gambar: Watson Wong)
Luka parah yang dialami Danish mengerikan. Segala isi di tubuh sebelah kiri muka, bahu dan tangannya tersiat keluar. Ini sehinggakan tulang bahagian kirinya jelas kelihatan.
Dahi sebelah kirinya pula berlubang. Lebih menyayat hati, dia juga kehilangan kelopak matanya akibat kemalangan itu. Bukan itu sahaja, kedua-dua kakinya patah dan beberapa bahagian tulang belakangnya turut retak.
DOKTOR BERUSAHA CEGAH MUKA DARIPADA JADI BUSUK
BERITAMediacorp difahamkan bahawa para doktor di Hospital Universiti Nasional Singapura (NUH) sedang berkejar dengan masa untuk mencegah luka terbuka di bahagian wajah dan bahu Danish, daripada menjadi busuk.
Oleh itu, pakar bedah melakukan graf kulit daripada paha Danish itu untuk ditampalkan kepada bahagian-bahagian tersebut.
“Hanya tiga daripada 40 lebih saraf tangan yang berfungsi sekarang. Doktor akan cuba ‘curi’ saraf daripada bahagian lain di tubuhnya. Tetapi itu pun, peluang Danish menggunakan tangan kirinya amat tipis. Kecederaan di bahagian tangannya terlalu parah sekali,” luah Cik Norazah kepada BERITAMediacorp, mengenai keadaan tubuh anaknya itu.
Meskipun mata ibu berusia 45 tahun itu bergenang dengan air mata dan suaranya tersekat-sekat dalam wawancara dengan pihak kami, beliau menggagahkan dirinya untuk menggambarkan segala kecederaan yang dialami oleh anak kesayangannya itu.
IBU MINTA SAKSI KEMALANGAN TAMPIL KE DEPAN
Cik Norazah sebenarnya bersedia membuka cerita kepada BERITAMediacorp demi satu tujuan. Beliau merayu supaya sesiapa sahaja yang menyaksikan kemalangan itu supaya tampil ke hadapan dan berkongsi dan memberi keterangan.
Beliau mahu tahu, apa yang sebenarnya berlaku pada hari malang itu.
“Saya merayu sangat kepada sesiapa, tolonglah sekiranya anda berada di tempat kejadian itu ataupun mempunyai rakaman video kamera pada kenderaan anda ketika kemalangan itu berlaku, tolonglah berikannya kepada pihak polis.”
“Saya merayu sangat sangat… Anak sulung saya sudah meninggal dunia dan Danish sekarang pula di ICU. Saya ingin tahu perkara sebenar yang berlaku kepada anak-anak saya dan kemudian ambil tindakan seterusnya,” luah Cik Norazah kepada BERITAMediacorp.
Cik Norazah bersama tiga orang anaknya – (dari kiri) Muhammad Danish, Muhammad Haziq dan Muhammad Baqir.
DANISH MASIH TIDAK TAHU, ABANGNYA SUDAH TIADA
Cik Norazah dan bekas suaminya Encik Juraimi Kamis tidak sanggup melihat anak mereka dalam keadaan menyayat hati itu. Lubuk jiwa mereka hancur luluh setiap kali anaknya itu meraung kesakitan di katil hospital.
Namun, mereka kuatkan diri mereka kerana melihat azam Danish untuk terus hidup “amat kuat”.
Sebagai ayah, Encik Juraimi terpaksa membuat keputusan berat untuk merahsiakan daripada Danish hakikat bahawa Haziq sudah meninggal dunia.
“Allah sahajalah yang tahu betapa sakitnya Danish sekarang. Meskipun dia sekarang tidak boleh bercakap kerana tiub dijolok ke dalam mulutnya untuk membantunya bernafas, dia berkomunikasi dengan kami dengan menulis pada kertas. Dia beritahu bahawa dia ingin cepat sembuh dan bertemu dengan abangnya,” cerita Encik Juraimi kepada pihak kami.
“Kami tidak sampai hati untuk memberitahunya bahawa muka dan tangannya akan cacat. Apalagi, memberitahunya bahawa abangnya sudah tiada,” tambah Encik Juraimi lagi.
Buat masa ini, Encik Juraimi, Cik Norazah dan anak bongsu mereka, Muhammad Baqir yang berusia 16 tahun, sekadar mampu memanjatkan doa bahawa segala pembedahan yang harus Danish jalani akan berjalan dengan lancar.
Mereka berharap sangat agar para saksi tampil ke hadapan. Itu sahaja yang mereka inginkan sebagai ibu bapa. Itu sahaja yang mereka mampu buat untuk anak kesayangan mereka itu buat masa ini.
BERITAMediacorp cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak polis dan diberitahu bahawa siasatan masih dijalankan.
Source: http://berita.mediacorp.sg