Dahulu Tempat Pelajar Tercicir Kini Jadi Rebutan Ibu Bapa; Madrasah Al-Maarif Ingin Lahirkan Muslimah Tinggi Rohani Dan Berdaya Intelek

Memupuk generasi pemimpin Muslimah yang tinggi rohani, berdaya intelek dan sentiasa bersama masyarakat.

Itulah visi masa depan Madrasah Al-Maarif dalam usaha membawa institusi itu mencapai kemajuan lebih baik.

Mudirah Al-Ma’arif, Ustazah Sukarti Asmoin berkongsi hala tuju dan harapan madrasah itu bersama wartawan Ummu Rabbisyfina sempena ulang tahunnya yang ke-80, tahun ini.

Sebuah madrasah yang dahulunya menerima pelajar tercicir namun kini Madrasah Al-Maarif berdiri megah menghasilkan lulusan yang cemerlang dalam bidang duniawi dan ukhrawi.

(Gambar: Madrasah Al-Maarif)

Berkongsi perubahan landskap pendidikan al-Maarif, Ustazah Sukarti Asmoin berkata imej tersebut sudah berubah, malah kini madrasah itu menjadi ‘rebutan ramai’ ibu bapa.

“Memang hari ini Madrasah Maarif merupakan antara Madrasah yang menjadi pilihan kepada ibu bapa, maknanya setiap tahun, kita menolak ramai pemohon kerana memang kita tidak mempunyai tempat,” dedah Ustazah Sukarti.

Beliau percaya pencapaian ini adalah kerana perubahan pada pendidikan madrasah yang kini holistik dan pelbagai.

Ramai juga yang kita lihat sumbangan mereka kepada pemerintah, sama ada dari segi mereka menjadi guru, mereka menjadi pegawai-pegawai eksekutif, sama ada dalam bahagian swasta atau pemerintah sendiri dan mungkin juga ada yang memiliki doktorat tetapi tidak berkhidmat di Singapura,” jelasnya lagi.

Namun, menyingkap kembali pengalamannya sebagai pelajar, anggota tenaga kerja dan guru besar yang sudah berkhidmat sekitar 40 tahun ini akur pencapaian Maarif pada hari ini bukan sesuatu yang mudah.

“Bila saya menjadi pelajar, bila madrasah Maarif mengorak langkah untuk memastikan pelajar mereka mesti duduk peperiksaan “O” itu bukan sesuatu perkara yang mudah, kerana kita kena tukar sukatan pelajaran kita, tukar kurrikulum kita, kita harus pastikan murid kita mampu duduk periksa pada 1971,” kata Ustazah Sukarti.

(Gambar: Madrasah Al-Maarif) 

Melihat kembali sejarah madrasah tersebut, Ustazah Majidah turut percaya pencapaian madrasah pada hari ini ialah hasil titik peluh perjuangan asatizah dahulu.

Beliau sendiri sudah berkhidmat di Madrasah Al-Maarif selama 30 tahun.

“Walaupun pada ketika itu mungkin dari sudut kekurangan buku, mungkin dari sudut gaji mereka, yang rendah tetapi mereka sanggup berkorban dan berjuang untuk wujudnya pembelajaran agama bagi masyarakat Singapura,” kata Ustazah Majidah, Ketua Jabatan Pengetahuan Agama Islam.

(Gambar: MUIS) 

Dengan pasukan asatizahnya yang berpengalaman dan kepakaran luas, Madrasah Al-Maarif yakin dapat memperkukuh lagi kedudukannya bagi memenuhi keperluan masyarakat.

“Kami tinggal di abad 21 ini maknanya perkara-perkara moden berlaku,seperti pelajar-pelajar kita sekarang terdedah kepada internet, terdedah kepada media sosial, maka di situ guru-guru atau asatizah perlulah bersama-sama, iaitu menjadikan ICT, menerapkan ICT di dalam pembelajaran mereka,” dedah Cik Juyda Noor Mohamad, Ketua Jabatan Bahasa dan Ilmu Kemanusiaan.

Sempena sambutan ulang tahunnya ke-80, satu majlis gilang gemiliang diadakan esok dengan dihadiri Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli.

Turut dilancarkan nanti, buku sejarah madrasah tersebut ini.

 

 

Source: http://berita.mediacorp.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *