KOTA BAHRU: Dalam kesibukan di waktu pagi, ramai yang tidak menyangka akan mendapat ‘rezeki’ sarapan pagi percuma dari seorang ‘pengantin’ di tepi jalan.
Nor Hamidi Mohd Nadzir, 27 tahun, mengejutkan sebahagian besar pengguna jalan raya di Jalan Kok Lanas-Machang, Kelantan dengan berpakaian pengantin serba lengkap dan mengagihkan makanan kepada mereka, lapor laman Berita Harian Malaysia.
Nor Hamidi, yang merupakan pemilik butik pengantin D’Rias Bridal Collection, mengagihkan 120 bungkus bihun dan nasi goreng setiap hari sejak Ahad lalu (15 Mei) sebagai tanda kesyukuran dan mahu berkongsi rezeki setelah pernigaannya mencatat keuntungan pada bulan Februari dan Mac lalu, menurut laman Berita Harian Malaysia.
Gambar-gambar Nor Hamidi sedang mengagihkan sarapan pagi kepada para pengguna jalan raya turut dimuat naik ke laman Facebook D’Rias Bridal dan disambut baik oleh para pengguna laman media sosial.
Beliau juga bertukar-tukar baju pengantin setiap hari.
“Idea berpakaian lengkap sebagai pengantin adalah bagi menarik perhatian pengguna untuk singgah selain tidak memerlukan modal memandangkan saya mempunyai butik pengantin,” katanya ketika ditemui wartawan Berita Harian Malaysia tadi (17 Mei).
Nor Hamidi, yang masih bujang, berkata beliau dibantu tiga pekerjanya untuk mengagihkan bungkusan sarapan yang dimasak ibunya, Rokiah Idris, 54 tahun.
Source: http://berita.mediacorp.sg