PM Lee: Kita Mesti Pastikan Singapura Ada Presiden Melayu Dari Semasa Ke Semasa

“Kita mesti pastikan bahawa dari masa ke masa, Singapura mempunyai seorang Presiden Melayu, seorang Presiden India ataupun dari kaum minoriti lain.

“Saya percaya isu ini penting bukan sahaja kepada masyarakat minoriti tetapi juga Singapura.”

Demikian tegas Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2016 hari ini (21 Ogos).

Semasa ucapan dalam bahasa Melayu, PM Lee berkata, semakan terhadap jawatan Presiden Dipilih dibuat atas dasar untuk memastikan masyarakat minoriti merasakan bahawa mereka diwakili secukupnya dalam sistem politik negara ini, dengan kepentingan mereka dijaga dengan rapi.

Encik Lee berkata semakan itu bagi memastikan bahawa dari masa ke masa Singapura akan mempunyai seorang Presiden dari kalangan minoriti, seperti semasa di bawah sistem Presiden Dilantik dahulu.

Di bawah sistem itu, Singapura ada Presiden Yusof Ishak (Melayu), Presiden Benjamin Sheares (Serani), Presiden Devan Nair (India) dan Presiden Wee Kim Wee (Cina).

Namun kini, di bawah sistem Presiden Dipilih, adalah sukar bagi calon bukan Cina untuk dipilih sebagai Presiden.

KEADAAN BOLEH DIPOLITIK DAN PECAH BELAHKAN PERPADUAN

Dalam jangka panjang, keadaan ini, kata Encik Lee, akan menimbulkan perasaan kecewa dan resah di kalangan masyarakat minoriti, dan ia boleh dipolitik dan diperalatkan untuk mengapi-apikan masyarakat minoriti dan memecah belahkan perpaduan kita pada masa depan.

Oleh itu, kata Encik Lee, Singapura harus membuat perubahan sekarang dan mengambil tindakan ketika suasana aman dan rakyat bersatu.

“Jadi, kita mesti pastikan bahawa dari masa ke masa, Singapura mempunyai seorang Presiden Melayu, seorang Presiden India ataupun dari kaum minoriti lain.

“Saya percaya isu ini penting bukan sahaja kepada masyarakat minoriti tetapi juga Singapura,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Encik Lee, kriteria kelayakan yang ketat akan dikekalkan. Ini supaya rakyat yakin bahawa sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Presiden layak dipilih dan memenuhi piawaian tinggi yang sama.

“Jawatan Presiden merupakan simbol negara kita. Setiap rakyat Singapura mesti berasa bahawa seseorang dari kaumnya boleh menjadi Presiden malah terpilih menjadi Presiden dari masa ke masa.

“Dengan keyakinan dan sokongan itu, Presiden boleh memainkan peranannya menyatu padukan rakyat Singapura,” kata Encik Lee.

Source: Berita MediaCorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *