2 Guru Melayu Antara 6 Penerima Anugerah Belia Cemerlang Dalam Pendidikan

Dua guru Melayu/Islam antara enam penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan tahun ini yang disampaikan Menteri Pendidikan Ng Chee Meng, semalam (5 Jul). Cik Farah Syed Haider Alsagoff yang mengajar di Sekolah Rendah Chongzheng adalah di antara pemenangnya.

Berkat sokongan ibunya, yang juga seorang guru, beliau bukan hanya dapat mengatasi mata pelajaran matematik, yang digeruninya tetapi kini menjadi guru subjek tersebut! Pendekatan ini juga yang beliau amalkan dalam mengajar dua kelasnya di bawah program sokongan pembelajaran matematik. Ini termasuk meneroka cara menarik seperti permainan dan pertandingan, untuk membina keyakinan murid. Cikgu Farah yang juga merupakan ibu kepada tiga orang anak, walau bagaimanapun menekankan peranan penting yang perlu dimainkan ibu bapa dalam menghidupkan minat dalam pelajaran matematiks dan sains, melalui kaedah mudah dalam kehidupan sehari-harian.

Seorang lagi pemenang, guru pendidikan jasmani Muhamad Fadly Mohd Ariff, pula mengongsi pengalaman pahit semasa di bangku sekolah membakar tekad beliau untuk memastikan murid-muridnya tidak melalui perkara yang sama. Guru di Sekolah Rendah Temasek ini pernah ditolak pemohonannya mengikuti kegiatan sukan, kerana dianggap kurang berbakat dalam bidang itu. Maka itu, beliau memulakan inisiatif-insiatif baru seperti karnival padang dan balapan tidak kompetitif agar semua murid dapat merasakan pengalaman bersukan. Atas dedikasi mereka dalam pembangunan belia, Muhammad Fadly dan Farah diberi penghargaan khusus bagi guru di bawah usia 35 tahun.

 

Source: Berita Mediacorp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *