PCF Tawarkan Kelas Bahasa Melayu Di Lebih Banyak Tadikanya Mulai 2018

Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim mengumumkan Pusat Pendidikan Yayasan Masyarakat PAP (PCF) bakal memperluaskan program bahasa Melayu kepada murid-murid tadika di prasekolah kendaliannya, mulai tahun depan.

Prof Madya Faishal berkata demikian di seminar PCF bertemakan “Jom Cakap Melayu”, hari ini (24 Nov).

Beliau, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (MSF) turut menekankan pentingnya kesantunan berbahasa dan budaya dalam pembelajaran bahasa Melayu sejak awal lagi.

Menurut Dr Weelai Suwanarat, Pengarah Jabatan Perkembangan Profesional Pendidikan (PED PCF), tahun ini enam pusat PCF memulakan kelas tadika khusus bagi mengajar bahasa Melayu kepada murid-murid mereka.

Seramai 140 guru prasekolah menghadiri seminar hari ini yang dipimpin pakar-pakar bahasa Melayu dari Kementerian Pendidikan (MOE), Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Tujuannya, untuk membangun dan meningkatkan kemahiran guru-guru prasekolah dalam pembelajaran dan pengajaran bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

Antara lain mereka berkongsi pelbagai teknik bercerita dan bagaimana untuk menanamkan cinta kepada bahasa Melayu kepada murid-murid yang terdedah kepada penggunaan bahasa Melayu yang terhad.

 

Source: beritamediacorp.com

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *