KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis sedang memantau semua sekolah agama swasta di negara itu kerana bimbang ia boleh menjadi sarang militan.
Dalam satu temu ramah dengan akhbar New Straits Times semalam, beliau berikrar akan mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat dalam kegiatan militan.
Tan Sri Khalid berkata polis sedang memantau Madrasah Nurul Hidayah di Kuala Ketil, Kedah, yang diasaskan oleh bekas ketua penerangan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kedah, Lotfi Ariffin, yang terbunuh di Syria September lalu selepas menyertai militan yang menggelarkan kumpulan mereka Negara Islam (IS).
“Kami sedang memantau madrasah ini, selain entiti dan individu yang mungkin mempengaruhi orang ramai agar menyertai militan di Syria. Tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya.
Pada 14 Januari lalu, akhbar New York Times menemu ramah anggota keluarga Lotfi bagi video ekslusif ‘The Jihadist in Our Family’ dan beberapa pelajarnya di Madrasah Nurul Hidayah.
Pelajar madrasah itu juga dinasihatkan abang Lotfi, Mohd Zainon, 46 tahun, seorang guru agama di madrasah itu, supaya mengikuti laluan Lotfi.
Ini bukan kali pertama madrasah swasta menarik perhatian kerana menghasut pelajarnya menjadi anggota militan.
Pada awal 1990-an, seorang militan, Noordin Mohammad Top, yang juga dikenali sebagai Noordin Mat Top, dari Kluang, Johor, menubuhkan sebuah madrasah di Ulu Tiram di negeri itu.
Noordin membawa masuk guru agama dari Indonesia bagi mengajar di Madrasah At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah Luqmanul Hakiem.
Penghulu Kampung Sungai Redan, Encik Mohd Saad Sahmin, bagaimanapun berkata madrasah itu telah ditutup pada awal 2000-an.
Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Menentang Pengganasan, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, yang ditemu ramah dalam video tersebut berkata Lotfi mempunyai karisma dan berjaya menarik pengikutnya ke Syria bagi bertempur bersama militan IS.
Beliau berkata Lotfi merekrut individu daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar, profesor, dan karyawan.
“Sekiranya mereka ke Syria, mereka akan memperolehi latihan dan kepakaran tentang cara membuat bom dan mengendalikan senjata. Mereka akan memperkuatkan ideologi dan kembali,” katanya dalam video itu.
Source: http://beritaharian.sg