Asatizah Perlu Pertingkat Bimbingan Agar Belia Jauhi ISIS

Anak-anak muda Islam harus mengejar ‘jihad keamanan’ dengan mencari jalan terbaik untuk membentuk keamanan bagi manfaat masyarakat, negara dan penduduk Singapura amnya.

Jihad sebenar dalam konteks Singapura hari ini adalah membentuk suasana aman dan mempamerkan nilai-nilai murni Islam.

Mantan Mufti, yang kini Penasihat Pejabat Mufti, Shaikh Syed Isa Semai ketika diminta mengulas mengenai kes dua belia radikal sendiri – seorang diberkas dan seorang lagi ditahan – di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata:

“Anak-anak muda mempunyai kefahaman yang masih tipis terhadap agama. Apabila mereka bercakap tentang jihad, mereka terus memikirkan tentang perang. Mereka lupa sebenarnya Islam cintakan keamanan.”

Menurutnya remaja Islam di Singapura perlu memahami dengan lebih jelas konsep jihad dengan membuktikan kepada Singapura bahawa Islam bukan agama keganasan dan anak-anak Melayu sebenarnya juga menolak pengganasan, kata Shaikh Syed Isa.

Beliau berkata masyarakat Islam sendiri perlu berusaha keras untuk membanteras anak-anak muda meradikalkan diri sendiri menerusi Internet.

Beliau turut menyarankan agar pakar-pakar media sosial bergabung tenaga dengan ustazah bagi membolehkan setiap keraguan tentang Islam di kalangan anak dijawab di laman Internet.

“Kebanyakan ustaz mungkin tidak mendalam keupayaan tentang Internet. Kita boleh bergabung dengan pakar Internet di luar dengan tujuan mendidik anak-anak muda ke jalan Islam yang sebenar.

“Janganlah Islam dilihat selah-olah ia satu agama yang tiada keihsanan dan kebaikan. Kita mesti melawan arus kejahatan dan moga Unknown memberikan kita taufik dan hidayahnya dalam usaha kebaikan ini,” ujar Shaikh Syed Isa.

Seorang lagi pemimpin agama, Ustaz Sheik Hussain Sheik Ya’kub berkata usaha perlu dipertingkat untuk menyesuaikan pendidikan agama dengan keperluan golongan remaja.

Beliau yang juga presiden Persatuan Muhammadiyah berpendapat syarahan agama misalnya harus memberi perhatian khusus untuk remaja dan bukan diadakan secara umum.

“Berdasarkan maklum balas yang saya dengar, ada sebahagian anak muda yang tidak menghargai golongan asatizah dan sudah hilang rasa hormat.

“Saya juga rasa kurikulum agama kita perlu diubah. Teknik pengajaran juga kita perlu tukar. Kita tidak boleh lagi ikut pendekatan macam 50 tahun lalu. Yang penting, kita sendiri harus bersedia untuk berubah agar dapat lebih mendekati anak muda masa kini dengan isu semasa dan cabaran mereka,” kata beliau.

Naib Ketua Pusat Harmoni yang juga Pengerusi Masjid An-Nahdhah, Ustaz Muhammad Fazalee Ja’afar pula menambah: “Banyak usaha telah dilakukan oleh masyarakat Islam untuk mendidik masyarakat kita mengenai Islam yang sebenar iaitu Islam yang membawa kepada kesejahteraan dan keamanan buat semua.

“Bahkan di Pusat Harmoni, melalui program yang kami anjurkan telah dapat mendekati seramai 40,000 pengunjung ke pusat ini semenjak ia mula beroperasi pada tahun 2006.

“80 peratus dari pengunjung merupakan masyarakat bukan Islam yang mana melalui program ini, mereka diberikan pendedahan akan erti Islam yang sebenar.

“Melalui pendedahan ini juga mereka memahami bahawa pengganasan serta fahaman radikal sama sekali bukan merupakan sebahagian dari ajaran Islam.”

Menurutnya peristiwa penangkapan ini memberikan isyarat peri penting semua lapisan masyarakat berganding bahu untuk terus bersikap berwaspada dalam menangani isu pengganasan ini. Usaha mendekati dan mendidik lebih ramai anak serta belia mengenai Islam adalah penting dan harus dipergiatkan.

Sementara itu, Imam Masjid Ba’alwie, Habib Hassan Al-Attas, yang juga anggota majlis Pertubuhan Antara Agama (IRO), menambah:

“Sebuah pohon yang akarnya kuat jika tertiup angin kencang tetap tidak akan berganjak. Mereka yang ikhlas dan teguh imannya akan sentiasa di dalam jagaan Allah dan tidak akan terayun dengan tipu daya nafsu dan hasutan syaitan.”

 

Source: http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *