Shamsul Kamar Bukan Muka Baru Di Kaki Bukit

Berita Encik Shamsul Kamar sebagai pengganti Encik Kahar Hassan selaku Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) cawangan Kaki Bukit mungkin satu kejutan bagi sesetengah pemerhati.

Namun, pemimpin akar umbi memberitahu Berita Harian (BH) bahawa penglibatan Encik Shamsul, 43 tahun, dalam kerja-kerja akar umbi di kawasan undi tersebut bukan baru.

Beberapa aktivis akar umbi Kaki Bukit berkata mereka telah lama bekerjasama dengan Encik Shamsul – ketua jabatan bagi pengurusan pelajar di Sekolah Menengah Spectra yang telah meletak jawatan.

Beliau dijangka terus berkhidmat di sekolah khusus untuk pelajar Normal (Teknikal) itu sehingga 21 Ogos ini.

Salah seorang daripada aktivis itu yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Saadiah, 47 tahun, berkata beliau mengenali Encik Shamsul semasa Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim merupakan Anggota Parlimen (AP) di GRC Marine Parade (Kaki Bukit) antara 2006 dengan 2011.

“Kami sama-sama aktif dalam sesi bertemu penduduk.

“Encik Shamsul merupakan orang yang banyak membimbing kami tentang cara menghasilkan surat permohonan penduduk kepada pelbagai agensi pemerintah.

“Secara peribadi, beliau mudah dihampiri dan akan hulurkan bantuan apabila diperlukan,” kata kakitangan dalam industri perkhidmatan sosial itu.

Seorang lagi aktivis, Encik Mohd Yahya Zakaria, yang telah berkhidmat dalam kerja-kerja akar umbi sejak lebih 30 tahun lalu berharap Encik Shamsul sudah pun dikenali sebahagian penduduk.

“Saya yakin sekiranya beliau diberi sedikit lagi masa untuk bermesra dengan penduduk, beliau boleh membuktikan kemampuannya,” katanya.

Encik Shamsul telah dilantik sebagai Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) cawangan Kaki Bukit, menggantikan Encik Kahar Hassan yang mengundur diri akhir bulan lalu.

Sabtu lalu, mantan Anggota Parlimen (AP) dan menteri kabinet, Encik Lim Boon Heng, mengumumkan demikian selepas mesyuarat dengan akar umbinya di Pusat Perkhidmatan Keluarga Thye Hua Kwan.

Encik Lim memberitahu pemberita bahawa keputusan mengeluarkan Encik Kahar “bukanlah sebab beliau telah melakukan sebarang jenayah atau skandal.”

Semasa dihubungi, Encik Shamsul berkata masanya belum sesuai baginya membuat sebarang kenyataan.

Tambahan lagi, beliau masih berkhidmat dengan perkhidmatan awam.

Difahamkan Encik Shamsul kini mencurahkan khidmat sebagai pemimpin akar umbi di kawasan undi Kaki Bukit.

 

Source; http://beritaharian.sg

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *