Tag: Agama

  • Dr Maliki Osman: Cari Jalan Sederhana Dalam Agama Supaya Dapat Saling Memahami

    Dr Maliki Osman: Cari Jalan Sederhana Dalam Agama Supaya Dapat Saling Memahami

    Perpaduan dalam masyarakat berbilang agama tidak akan dapat dicapai dengan berkesan jika masih ada isu-isu dalam sesuatu agama itu.

    Antaranya pandangan yang berbeza dalam mengamalkan ajaran agama.

    Menurut Menteri Negara Kanan Pertahanan dan Ehwal Luar Dr Mohd Maliki Osman, ia merupakan satu perkara yang perlu diteliti dengan serius dan ditangani jika kita mahu mengekalkan keharmonian dalam kehidupan.

    “Sering kita dengar satu bangsa mengatakan sama ada kita boleh melakukan sesuatu perkara dan ada yang mengatakan boleh dan ada yang mengatakan tidak boleh. Bangsa yang lain mungkin tidak faham. Langsung ia akan menimbulkan masalah kepada mereka jika mereka ingin mengaitkan dengan sesuatu kaum tersebut. Jadi saya rasa apa yang penting ialah dalam sesuatu agama itu kita cuba cari jalan sederhana supaya ramai di antara mereka yang bukan dalam agama tersebut memahami apa yang dipraktikkan dan difahami oleh agama tersebut. Ini mungkin akan dapat meningkatkan lagi hubungan antara kaum ataupun antara agama di Singapura ini,” kata Dr Maliki.

    Dr Maliki yang juga Datuk Bandar CDC Tenggara berkata demikian di sesi dialog antara kaum anjuran CDC itu petang tadi (21 Jan).

    Ini merupakan sesi kedua daripada satu siri dialog bertujuan meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang pelbagai agama dan budaya di negara ini.

    Dialog kali ini berkisar tentang peranan dan erti sesuatu warna dalam kehidupan berbilang kaum di negara ini.

    Menurut Dr Maliki, sebagai rakyat Singapura, di samping tidak mengamalkan diskriminasi
    kita juga perlu mengambil langkah-langkah proaktif dalam membina wadah bagi pertukaran pendapat yang berkesan tentang masyarakat majmuk Singapura.

    Dialog ini disertai sekitar 170 orang dari pelbagai latar belakang termasuk pemimpin agama dan belia.

    Sesi selanjutnya akan diadakan pada 4 Mac.

    Source: BeritaMediacorp

  • Pemuda Indonesia Pijak Quran, Harus Dihukum Berat

    Pemuda Indonesia Pijak Quran, Harus Dihukum Berat

    INDONESIA: Seorang lelaki berusia 20 tahun, Kapry Nanda, disoal siasat Polis Pasaman Barat, Sumatera Barat berhubung gambar beliau memijak Al-Quran, yang dimuat naik ke laman Facebook.

    Dalam pada itu, angota Dewan Perwakilan Rakyat (DPRD) Kota Padang, Muharlion, mendesak polis mengenakan hukuman berat terhadap Kapry.

    “Pemuda itu harus dihukum berat serta dikenakan hukuman adat wilayah Minang,” kata Encik Muharlion kepada agensi berita Antara pada Selasa lalu (14 Jun).

    Beliau menegaskan, hukuman berat itu diperlukan kerana ia merupakan perkara serius bagi umat Islam, iaitu menghina kitab suci orang Islam.

    Encik Muharlion berkata individu seperti Kapry tidak boleh dibiarkan begitu sahaja dan harus dikenakan hukuman seberat-beratnya kerana memandang rendah kepada Al-Quran.

    Sebelum itu, polis Pasaman Barat menyiasat Kapry dan seorang rakannya, yang memuat naik gambar beliau memijak Al-Quran ke laman Facebook milik Andri, 21 tahun.

    Gambar Kapry memijak Al-Quran yang diletakkan di atas sejadah di ruang yang kelihatan seperti surau atau masjid, dimuat naik dengan kapsyen “Jangan tiru adegan ini, bro.”

    ADAKAN PERTEMUAN BINCANG TINDAKAN SETERUSNYA

    Pada pagi Rabu lalu, satu pertemuan di pejabat ketua kampung Sungai Air antara Kapry, polis dan ketua-ketua masyarakat turut diadakan untuk membincangkan tindakan seterusnya lebih-lebih perbuatan Kapry dijangka mencetuskan kemarahan ramai.

    “Benar kami melakukan pertemuan dengan pelaku untuk mendengarkan keterangannya,” kata ketua kampung, Erwin Lubis.

    Beliau berkata Kapry selama ini dikenali di kampung tidak pernah melakukan sebarang masalah. Namun, beliau berubah kerana terpengaruh dengan rakan-rakan.

    Selepas pertemuan di pejabat ketua kampung, Kapry dibawa ke polis untuk disiasat lebih lanjut.

    Belum ada maklumat lanjut sama ada Kapry ditahan oleh polis.

    Source: http://berita.mediacorp.sg

  • Yaacob Ibrahim: Perkuat Silaturahim, Sepadu Elak Pecah-Belah

    Yaacob Ibrahim: Perkuat Silaturahim, Sepadu Elak Pecah-Belah

    SEMENTARA isu keselamatan negara ditangani oleh agensi relevan, warga Singapura boleh memainkan peranan secara peribadi bagi memastikan bahawa perpaduan masyarakat tidak berpecah-belah.

    Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, berkata demikian sebagai mengulas penahanan lapan warga Bangladesh Selasa lepas kepada media selepas sesi perbincangan bersama golongan belia pada malam hari yang sama.

    “Di Singapura, sebagai masyarakat Melayu/Islam, kita harus pelihara perpaduan sosial yang ada di sini.

    “Kita lihat bagaimana kita boleh berganding bahu dengan masyarakat lain bagi menentukan bahawa apa pun yang telah berlaku tidak akan memecah-belahkan negara kita.

    “Ini salah satu perkara yang penting dan harus terus ditekankan,” ujar Dr Yaacob yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

    Lapan warga Bangladesh yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu telah merancang melakukan serangan pengganasan di negara mereka.

    Mereka berusia antara 26 dengan 34 tahun dan merupakan sebahagian daripada kumpulan yang dinamakan Negara Islam Bangladesh (ISB).

    Dr Yaacob menambah bahawa masyarakat Melayu/Islam perlu “terus memperkuat tali silaturahim dalam masyarakat dan memelihara perpaduan sosial yang kita telah capai buat bertahun-tahun lamanya”.

    Dalam pada itu, Ketua Pengajian Dasar, Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Profesor Madya Dr Kumar Ramakrishna, menekankan bahawa masyarakat Singapura tidak harus memulau pekerja asing.

    “Sebahagian besar daripada mereka yang datang ke sini semata-mata mahu mendapat kerja dan menyara hidup mereka,” jelas Dr Kumar.

    Beliau berkata penahanan lapan pekerja Bangladesh itu menunjukkan kerjasama antara Singapura dan pihak berkuasa Bangladesh perlu dipertingkat, lebih-lebih lagi ini kali kedua penahanan dibuat.

    “Pendidikan mengenai cara mengesan sebarang kelakuan radikal boleh juga dianjurkan bagi pekerja asing agar mereka dapat berfungsi sebagai ‘mata’ dan ‘telinga’ tambahan’,” saran Dr Kumar.

    Pengasas kumpulan penjagaan susulan antara agensi, Aftercare Group (ACG), Encik Abdul Halim Kader, yang juga Presiden Taman Bacaan, akur dengan pandangan bahawa masyarakat Singapura, tidak kira bangsa, tidak harus meminggirkan pekerja asing.

    “Kita harus mendekati mereka terutama semasa waktu lapang mereka; jangan biarkan mereka terasing.

    “Saya telah merancang dengan beberapa pihak tertentu bagi memperkenalkan sukan sepak takraw dan bola tampar kepada pekerja asing terutama warga Bangladesh pada minggu-minggu akan datang,” ujar Encik Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses).

     

    Source: www.beritaharian.sg

  • Paderi Kagum Etika Nilai Anakanya Yang Peluk Islam

    Paderi Kagum Etika Nilai Anakanya Yang Peluk Islam

    Paderi Gereja England yang juga cendekiawan antara agama, Profesor Graham Ward, dari Universiti Oxford mengakui pernah disebut sebagai “ayah yang gagal” apabila anak perempuannya mengambil keputusan memeluk Islam.

    Ahli akademik unggul itu memberitahu hadirin dalam syarahan perdana anjuran Pertubuhan Antara Agama (IRO) bertajuk Pluralisme Agama dan Kepelbagaian Budaya di Auditorium Ngee Ann Kongsi Universiti Pengurusan Singapura (SMU) baru-baru ini:

    “Apabila anak perempuan saya mengumumkan keputusannya memeluk Islam, sebahagian anggota keluarga datang kepada saya dan bertanya, ‘Apa dah jadi dengan kamu ini? Kamu berkelakuan buruk sebagai seorang ayah’,” singkap Profesor Ward.

    Ketika ditanya apakah reaksi pertama beliau dan isteri, Cik Mary Ward, dengan keputusan puterinya itu, Profesor Regius Ketuhanan Universiti Oxford berusia 60 tahun itu, dalam satu pertemuan berasingan di lobi Hotel Fairmont, menambah:

    “Kami berasa lega. Ini kerana kami mahu anak perempuan kami berkahwin dengan seorang yang percaya pada agama. Ia penting dalam beliau menjalani kehidupan yang bermutu dan beretika.”

    Sepanjang wawancara selama setengah jam itu, berulang kali Profesor Ward melahirkan kekaguman beliau dengan cara kehidupan anaknya, Cik Rachel Ward, 29 tahun, dan menantunya, Encik Muhammad Yazeed Adams, 32 tahun, di Cape Town, Afrika Selatan.

    Cik Ward, yang kini bertugas sebagai ketua penggubal dasar, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia di Afrika Selatan, mula bertemu Encik Muhammad Yazeed, yang bertugas dalam bidang risiko korporat, semasa Cik Ward menjalani program latihan amali dalam bidang hak asasi manusia selama tiga bulan di Cape Town.

    “Saya paderi di gereja, maka saya lihat mutu kehidupan seseorang itu. Ia bukan setakat apa yang seseorang itu kata. Ramai yang daripada kepercayaan berbeza boleh berkata macam-macam. Tetapi apakah kehidupan mereka yang sebenar?” tanya beliau dengan nada penuh tenang.

    Bersama suaminya, Cik Rachel, seorang Sarjana Falsafah Undang-Undang Hak Asasi Manusia di Universiti Cape Town, dan dijadual melahirkan anak ketiganya dalam masa sebulan lagi, membesarkan anak sulung, Iriyana, lima tahun; dan Ali, tiga tahun; dengan cara Islam.

    Profesor Ward, yang turut mempunyai apartmen sendiri dalam lingkungan masyarakat Islam di Bo-Kaap, sebuah daerah di Cape Town, berkata apabila di sana, beliau yang mengakui gemar memasak, akan menyiapkan juadah halal buat keluarganya.

    “Apabila saya masak saya diberitahu agar masak lebih kerana mereka mahu mengagihkan makanan tersebut.

    “Jika mereka mahu membuang makanan sekalipun, mereka akan berdoa bersama sebelum makanan itu dibuang. Saya amat tertarik dengan amalan sebegitu iaitu adanya rasa hormat pada makanan sedangkan terlalu banyak pembaziran berlaku di seluruh dunia,” akui beliau.

    Apabila mereka menjamu selera di restoran sekalipun, baki makanan akan dibungkus. Ia kemudian diberikan kepada orang jalanan.

    “Inilah mutu hidup penuh kasih sayang tanpa mengira apa jua kepercayaan,” kata Profesor Ward yang turut menyaksikan sendiri kehidupan anaknya semasa Ramadan – bangun sahur dan berbuka bersama keluarga.

    “Saya ikut berpuasa bersama mereka walaupun Rachel tidak menyuruhnya. Saya melakukannya kerana saya mahu memahaminya sendiri. Ternyata ia amat sukar!” akui beliau sambil ketawa.

    Toleransi antara agama apatah lagi dalam keluarga adalah penting.

    “Generasi saya mungkin tidak ada isu dengannya, tetapi tidak bagi generasi sebelumnya.

    “Ibu mentua saya pada awalnya sukar menerima keputusan Rachel. Saya dan isteri kemudian menerbangkan beliau ke Cape Town untuk meluangkan masa bersama anak kami agar beliau dapat lihat sendiri tiada apa yang perlu dirisaukan. Beliau gembira dan berpuas hati,” tambahnya.

    Bagi Profesor Ward sendiri penerimaan perbezaan dapat turut dilihat dalam keluarga menantunya.

    “Yazeed akan memandu dan menghantar saya ke gereja di Cape Town dan ibu Yazeed pula akan memberitahu saya bila waktu sembahyang di gereja akan diadakan. Inilah hubungan kekeluargaan yang sebenar dalam menerima perbezaan.

    “Inilah asas kehidupan yang beretika dalam beragama. Setiap individu bermaruah dan suci,” kata Profesor Ward yang turut ikut duduk di masjid dan mengakui berasa tenang di dalamnya.”

     

    Source: http://beritaharian.sg

  • Rahayu Mahzam: Pemerintah Harus Memberi Kelonggaran Bagi Muslimah Bertudung, Luaskan Ruang Berbicara Tentang Hal-Hal Agama

    Rahayu Mahzam: Pemerintah Harus Memberi Kelonggaran Bagi Muslimah Bertudung, Luaskan Ruang Berbicara Tentang Hal-Hal Agama

    Masyarakat tempatan perlu mengadakan perbincangan-perbincangan “sangat berterus terang” tentang isu-isu nyata.

    Usaha menggalakkan keharmonian kaum dan agama tidak lagi boleh dijalankan di peringkat luaran sahaja dengan setakat menghadiri majlis-majlis budaya satu sama lain.

    Sebaliknya, Singapura harus “mengadakan ruang untuk bercakap tentang identiti kita, amalan keagamaan seperti membakar kertas sembahyang, pemakaian tudung, memainkan muzik semasa Thaipusam misalnya.”

    Demikian seruan Anggota Parlimen GRC Jurong, semasa menyampaikan ucapan sulung beliau dalam perbahasan di Parlimen petang tadi (28 Jan).

    Cik Rahayu menambah, seharusnya ada dialog-dialog terbuka kerana perbincangan sedemikian akan menghasilkan kefahaman tentang keprihatinan satu sama lain.

    Mengulas mengenai debat tentang isu pengganasan, beliau menekankan, masyarakat Melayu/Islam Singapura menolak fahaman sedemikian.

    Lantaran itu Cik Rahayu menekankan, masyarakat Melayu/Islam tidak boleh dipersalahkan dan taat setia masyarakat tersebut “tidak patut dipersoalkan”.

    HARAP ISU TUDUNG DISEMAK LAGI

    “Saya rasakan penting untuk Pemerintah mengambil langkah untuk menggalakkan perbincangan terbuka tentang hal-hal sebegini agar segala prasangka atau rasa salah faham dapat dilenyapkan dengan segera. Juga perlu sentiasa ada peringatan yang tegas untuk mengutuk dan mengekang tindakan yang berbaur Islamofobia.

    “Satu lagi hal yang berada di benak fikiran masyarakat kita adalah isu tudung. Saya harap hal ini dapat disemak lagi oleh Pemerintah dan kelonggaran diberi agar wanita bertudung tidak terbatas untuk bekerja dalam mana-mana kerjaya pilihannya,” ujar Cik Rahayu.

    Namun beliau juga menekankan, dalam pada masyarakat mengharapkan sesuatu daripada Pemerintah, ia juga perlu bersikap matang dan berbincang secara hormat.

    Masyarakat Melayu kata beliau perlu menggunakan peluang yang ada untuk terus menjalin hubungan dengan kaum lain agar ada pemahaman yang mendalam tentang budaya dan agama Melayu/Islam dapat terjalin.

    Masyarakat Melayu/Islam kata beliau, sebahagian daripada masyarakat majmuk Singapura dan perlu sentiasa prihatin untuk menjaga keharmonian kaum dan agama.

    SOKONG NCMP, KRITIK KOMEN KETUA PARTI PEKERJA

    Dalam ucapan beliau itu, Cik Rahayu juga mengalu-alukan peningkatan dan perubahan kepada skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) yang diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam.

    Beliau melahirkan harapan untuk melihat lebih ramai anggota politik pembangkang seperti Encik Leon Perera dan Encik Dennis Tan, bagi menghasilkan perdebatan yang lasak demi menggubal dasar negara.

    Cik Rahayu bagaimanapun membidas ketua pembangkang Low Thia Khiang dengan berkata, beliau “agak terkejut” para NCMP itu disamakan dengan kiambang.

    “Tiada apa yang boleh menghalang NCMP daripada bergerak di akar umbi, melakukan lawatan rumah ke rumah dan menganjurkan sesi-sesi untuk mengumpulkan keprihatinan penduduk. Hakikatnya, saya teringat Encik Perera menyebut bahawa beliau melakukan kerja-kerja akar umbi di East Coast dan Aljunied. Peningkatan-peningkatan tersebut mengukuhkan kedudukan NCMP dan saya rasa sukar untuk berhujah sebaliknya,” ujar Cik Rahayu lagi.

    AMALKAN KELONGGARAN BERI BANTUAN

    Menyentuh tentang golongan yang berisiko dan kurang bernasib baik, beliau menyeru supaya lebih banyak kelonggaran diamalkan dalam membantu mereka.

    Sebahagian bantuan kata beliau dibelenggu oleh pelbagai peraturan yang menyukarkan.

    Cik Rahayu berkata: “Kita tidak harus berkompromi dalam sokongan sosial yang perlu diberikan kepada individu-individu dan keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. Malah, pada masa-masa sukarlah, kita perlu bersikap lebih ihsan.”

    Source: http://berita.mediacorp.sg